[VIDEO] Jawatan PM boleh terjejas jika UMNO kekal solo PRN Melaka – Penganalisis

KEDUDUKAN Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob boleh terjejas sekiranya UMNO kekal dengan keputusan untuk bergerak solo di bawah bendera Barisan Nasional (BN) dalam Pilhan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Rusdi Omar berkata, sekiranya UMNO tidak lagi bersama dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN), perkara itu mampu memberi kesan yang besar kepada kedudukan Perdana Menteri.

“Perkara ini perlu dilihat dan dipertimbangkan oleh PM dan Zahid Hamidi. Sebab PM dilantik kerana adanya sokongan daripada parti-parti lain dalam Perikatan Nasional.

“Sekiranya ini berlaku, ia sedikit sebanyak akan menjejaskan kedudukan PM. Maknanya, ia menunjukkan bahawa pemimpin-pemimpin UMNO tidak menghormati sepenuhnya kepada kerajaan PN. Mungkin mereka hormat PM, tetapi mungkin tidak sepenuhnya kepada PN,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.

Menurut beliau, terdapat dua kesan daripada keputusan UMNO untuk bergerak solo dalam PRN Melaka yang berpotensi mampu mencorak Pilihan Raya Umum ke -15 (PRU-15) kelak.

“Kesan yang pertama adalah, sekiranya BN menang besar (di Melaka), ia merupakan ‘mileage’ kepada mereka. Jika mereka kalah, mungkin mereka perlu lihat kembali keputusan mereka dan kembali bekerjasama dengan PN.

“Ini kerana, saya melihat PRN Melaka ini sebagai satu medan untuk menguji kekuatan BN selepas PRU-14 dan juga menguji samada BN akan bergerak bersendirian atau sebaliknya di PRU-15.

“Jadi perkara ini akan mencorakkan bagaimana PRU-15 akan berlaku samada akan belaku 1 lawan 1, atau tiga penjuru, dan sebagainya,” ulas beliau.

Sementara itu, Ketua Penyelidik ILHAM Centre, Prof. Madya Dr. Yusri Ibrahim berkata, PRN Melaka akan menjadi tempat untuk kesemua parti-parti politik mengadakan uji kaji dalam persiapan menghadapi PRU-15.

“Jika UMNO nekad tidak mahu bersama dengan PN dalam PRU15, inilah masa terbaik untuk membuat simulasi.

“Komposisi pengundi di Melaka mirip komposisi pengundi seluruh negara khususnya semenanjung. Keputusan dalam PRN Melaka nanti memberi petunjuk awal kepada senario PRU15 nanti,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.

Ditanya sama ada keputusan UMNO bergerak solo pada PRN Melaka akan menjejaskan kedudukan Ismail Sabri, Yusri berkata, tidak.

“Tiada isu, sekurang-kurangnya sehingga PRU15, Ismail Sabri boleh kekal. Ismail Sabri sendiri diterima baik dalam kalangan pimpinan PN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).


“Lagipun, Ismail Sabri juga telah tandatangan Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA) bersama pembangkang sebelum ini,” ujarnya—SB.