

Meneladani Sunnah Rasulullah SAW adalah salah satu cara kita membuktikan cinta kita kepada Baginda.
Sewaktu berhijrah ke Madinah, Rasulullah bukan sahaja berjaya menyatukan kaum Muhajirin dan Ansar melalui Piagam Madinah, malah bersama kaum Yahudi.
Penyatuan yang diasaskan Baginda merentasi kabilah, agama serta fahaman.
Konsep penyatuan yang dibawa Rasulullah mengajar kita untuk bermuafakat tanpa mengira latar belakang demi mewujudkan satu Keluarga Malaysia yang harmoni.
Salam Maulidur Rasul 1443H/2021M kepada semua umat Islam dan semoga kita sentiasa beramal mengikut Sunnah Baginda. – DATUK SERI ISMAIL SABRI YAAKOB, Perdana Menteri

“Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti” – Semoga cinta dan kasih sayang kita kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW akan terus berkembang mekar dan subur dalam diri kita.
Tunjukkan rasa cinta dan sayang kita dengan perbanyakkan selawat dan salam ke atas Baginda SAW, satu daripada amalan yang sangat digalakkan dan dituntut Islam.
Marilah kita membulat tekad untuk berubah ke arah kebaikan dengan mencontohi dan mengamalkan akhlak terpuji baginda seperti berkata benar (Siddiq), amanah, sentiasa menyampaikan perintah dan larangan Allah (Tabligh) dan sentiasa cerdas (Fatonah) dalam berdakwah.
Sifat-sifat terpuji ini menjadi kunci kepada kejayaan baginda dalam menyebar dan mengembang Islam sehingga menjadi agama yang agung dan dihormati.
Ya Allah, Ya Rahman Ya Rahim, dengan keberkatan dan kemuliaan baginda Nabi Muhammad SAW, kami menadah tangan memohon agar wabak COVID-19 dilenyapkan daripada membelenggu Malaysia dan juga seluruh dunia.
Amin Ya Rabbal Alamin – TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN, Pengerusi Majlis Pemulihan

Sesungguhnya, tiada nikmat dan rahmat terbesar dari Allah SWT selain kejadian serta utusan Nabi Muhammad SAW. Allah SWT telah berfirman menerusi Surah al-Anbiya ayat 107 yang bermaksud: “Tidak kami (Allah) utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan menjadi rahmat kepada sekalian alam”.
Baginda yang diutus buat seluruh makhluk Allah SWT, bukan saja negarawan terunggul, pahlawan hebat dan ahli politik disegani, bahkan suami dan bapa yang penyayang. Marilah kita terus berusaha mencontohi keperibadian dan mengikut ajaran Baginda demi kesejahteraan di dunia dan akhirat.
“Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (sewaktu susah dan senang).” – Surah al-Ahzab, ayat 21. Salam Maulidur Rasul! – DATUK SERI HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN, Menteri Kanan Pertahanan

Sempena Maulidur Rasul ini, marilah kita hayati dan maknai perjuangan Rasulullah SAW dalam menyampaikan risalah suci Islam yang menjadi syiar buat kita semua, rahmat sekalian alam.
Saya bermunajat kepada Allah SWT dan berselawat ke atas junjungan kita Rasulullah SAW, agar seluruh umat Islam memperolehi barakahNya dan shafa’at di akhirat kelak.
Semoga Maulidur Rasul yang disambut pada tahun ini dapat memperingatkan kita akan peri penting mencontohi dan mengamalkan sunnah Rasulullah SAW dalam setiap aspek kehidupan kita agar menjadi satu generasi yang mahabbah dan berkualiti, demi kemajuan ummah dan watan.
Salam Maulidur Rasul kepada semua. Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti. – DATUK SERI MOHAMED AZMIN ALI, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri

Salam Maulidur Rasul buat seluruh umat Islam.
Marilah kita bersama-sama memperbanyakkan selawat ke atas Baginda Rasulullah SAW dan menunjukkan rasa cinta kita kepada Baginda dengan mengamalkan sunnah serta menjadikan Baginda sebagai suri teladan dalam kehidupan seharian.
Semoga kita semua terus istiqamah dalam mendapatkan keredhaan Nya dan semoga kita sama-sama mendapat syafaat dari Baginda Rasulullah SAW di Padang Masyar kelak.
Salam Maulidur Rasul. – Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Kanan Kerja Raya

Salam Maulidur Rasul 1443H
Semoga segala amal ibadah yang kita lakukan mendapat keredaan Allah SWT dan syafaat baginda Rasulullah SAW di akhirat kelak.
“Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti” – DATUK SERI HAMZAH ZAINUDDIN, Menteri Dalam Negeri.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.