Sajat dakwa sudah masuk Australia, mahu lupakan Malaysia

USAHAWAN kosmetik tanah air, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat yang menjadi buruan pihak berkuasa sejak beberapa bulan lalu mengesahkan dirinya kini berada di Australia.

Nur Sajat yang sebelum ini ditahan di Thailand memberitahu, dia kini sedang menjalani kuarantin di Canterbury dan mendakwa mendapat bantuan Kerajaan Australia untuk masuk ke nagara berkenaan.

Menurut Sajat semua perniagaannya di Malaysia sudah dijual dan kini sudah merangka perniagaan baharu di Australia.

“Saya berasa sangat bahagia kerana sudah bebas dan boleh menjadi diri sendiri,” kata Sajat menjawab salah satu soalan pengikutnya menerusi Instagram Live itu.

Pada akhir sesi ‘live’ berkenaan, Nur Sajat turut memaklumkan bahawa dirinya kini sudah berpisah dengan Malaysia dan tidak menolak kemungkinan untuk tidak kembali lagi.

“Kita (dia dan Malaysia) sudah cerai, sudah talak tiga, maaflah kita tak boleh bersatu kembali,” katanya.

Sementara itu Wisma Putra belum menerima sebarang permohonan daripada agensi berkaitan untuk membawa pulang usahawan kosmetik dalam buruan Nur Sajat yang didakwa sudah berada di Australia.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, Konsulat Jeneral Malaysia di Melbourne akan memberikan bantuan kepada agensi berkaitan untuk mengekstradisi Nur Sajat.

Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Parlimen Bandar Tun Razak di Sungai Besi, hari ini.–SB