Tokan tukar pil kuda dengan barang curi

0
566

IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat menahan seorang penganggur di sebuah rumah di Taman SBJ Putra, Wakaf Bharu, Tumpat pada pukul 10.15 semalam bagi membantu siasatan kes pecah rumah.

Suspek, 38, ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari IPD Tumpat dengan kerjasama Balai Polis Wakaf Bharu pad pukul 10.15 pagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tumpat, Deputi Superintendan Mohd. Razi Rosli berkata, dalam serbuan itu, pihaknya menemui beberapa barang dipercayai barangan curi dan disimpan dalam sebuah bilik.

“Pemeriksaan dalam bilik itu menemui sebuah jam tangan, dua bentuk cincin perak dan sebuah telefon bimbit dipercayai barangan yang hilang dari rumah dipecah masuk di Kampung Alor Pasir, Wakaf Bharu, minggu lalu.

“Selain itu, sebatang spring tangan turut ditemui dan pemeriksaan lanjut menjumpai satu beg kecil mengandungi plastik cerah berisi 19 biji pil kuda,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd. Razi berkata, soal siasat awal dijalankan mendapati suspek mengaku mengambil barang kes curi itu daripada seorang lelaki dikenali sebagai Hafiz melalui cara membuat pertukaran antara barang kes itu dengan pil kuda.

Menurutnya, suspek yang dipercayai seorang pengedar dadah, memberitahu tidak mengetahui tempat tinggal Hafiz dan hanya mengenali ketika berurusan untuk jual beli dadah sahaja.

“Hasil semakan, suspek mempunyai 15 rekod lampau termasuk enam berkait dadah dan tiga kes mengikut Seksyen 28(1) Akta Kesalahan Kecil (AKK) kerana memiliki peralatan pecah rumah serta dua kes curi.

“Ujian saringan dijalankan mendapati suspek positif methampethamine dan ditahan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga 21 Oktober dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK),” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here