Pencemaran Sungai Batang Kali akibat kelompangan undang-undang: pakar

0
498

MASA depan Sungai Batang Kali yang berpotensi menjadi sungai mati dan pernah disiarkan Bernama pada bulan lepas, masih kabur lantaran tidak ada pihak yang dilihat “benar-benar” bertanggungjawab terhadap isu pencemaran sungai di negara ini.

 Di sebalik kewujudan pelbagai agensi dan pihak berkuasa yang terlibat dalam pengurusan dan pemuliharaan sungai, isu Sungai Batang Kali jelas menunjukkan lompang yang agak luas dalam perundangan berkaitan sungai di Malaysia.

Dalam konteks Sungai Batang Kali, lompang itu ditunjukkan oleh pelepasan air sisa kolam ikan yang tidak tertakluk kepada peruntukan undang-undang sedia ada.

Permasalahan ini dibangkitkan oleh pakar kualiti air Dr Zaki Zainudin dalam temu bual bersama Bernama baru-baru ini mengenai nasib sungai sepanjang 20 kilometer yang terletak di laluan ke Genting Highlands itu, menyusuli kenyataan Exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor Hee Loy Sian.

Hee menjelaskan kepada Bernama bahawa aktiviti akuakultur yang berkeluasan 0.41 hektar itu tidak terikat di bawah Peraturan-Peraturan Kemasukan atau Pelepasan Bahan Pencemar (Negeri Selangor) 2012 kerana keluasannya kurang daripada 50 hektar. 

Bagaimanapun, kesemua aktiviti lain yang melibatkan sumber air sungai berkenaan seperti pencucian pasir dan penternakan lain, dilesenkan di bawah peraturan tersebut, kata Hee.

Beliau juga menyatakan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah mengeluarkan Kebenaran Bertulis Aktiviti Pengubahan Sumber kepada dua aktiviti pengorekan pasir serta dua aktiviti naik taraf jambatan dan tebing sungai serta Lesen Abstraksi Air Permukaan membabitkan lapan premis yang berkenaan. 

Keadaan ini menurut Zaki menimbulkan kebimbangan dan persoalan akan masa depan sungai berkenaan biarpun aktiviti akuakultur itu beroperasi secara sah dari segi undang-undang kerana berdaftar dengan Jabatan Perikanan Negeri Selangor dan mempunyai Lesen Abstraksi Air LUAS hingga akhir tahun ini.

Ini memandangkan projek penternakan akuakultur berisiko menyumbang kepada pelepasan ammonia, fostat/fosforus dan organik, sekali gus berpotensi mencemarkan sungai sekiranya tiada kawalan dan pemantauan dilakukan.

Standard pelepasan sisa akuakultur juga tidak tertakluk di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974), akta di bawah bidang kuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS). AKAS 1974 hanya menetapkan standard pelepasan bagi efluen perindustrian, kumbahan, industri getah, industri sawit serta dari stesen pemindahan dan tanah kambus.

TERLALU UMUM

Dalam pendedahannya bulan lepas, Bernama mengetengahkan aktiviti akuakultur di kawasan hilir sungai serta beberapa projek pembangunan di kawasan hulu yang dipercayai tidak mengikut prosedur sewajarnya, termasuk satu projek chalet ‘kayangan’ yang didakwa penduduk sekitar telah mencemarkan sungai tersebut. 

Dakwa penduduk, kegiatan berkenaan mengubah kualiti air sungai itu yang sebelum ini jernih khususnya di kawasan hilir, namun kini berlumut, keruh dan menjadi kehitaman sehingga membuatkan hidupan akuatiknya terutama ikan kelah, tengas, sebarau dan baung yang dahulu banyak didapati juga semakin sukar ditemukan. 

Malah, impaknya begitu dirasai dalam kalangan penduduk yang majoritinya merupakan masyarakat Orang Asli suku kaum Temuan yang mengakui mereka kini berdepan kesukaran untuk terus bergantung hidup pada sungai tersebut sebagai ‘lubuk rezeki’.

“Sebenarnya, dari sudut pelepasan air sisa akuakultur air tawar, terdapat peruntukan di bawah Enakmen LUAS, namun ini hanya melibatkan aktiviti akuakultur air tawar bersaiz 50 hektar atau lebih.

“Mungkin ada sesetengah pihak beranggapan aktiviti kolam ternakan ikan kurang 50 hektar tidak menjana beban pencemaran tinggi. Jika ini benar sekalipun, tidak semestinya tidak memudaratkan sungai. Ini kerana segmen sungai yang kecil atau tidak berapa besar umpamanya, lebih sensitif kepada pencemaran, meskipun beban pencemaran tidak besar.” kata Zaki. 

Di bawah  Peraturan-Peraturan Kemasukan atau Pelepasan Bahan Pencemar (Negeri Selangor) 2012, terdapat tujuh aktiviti berjadual yang tertakluk kepada peraturan berkenaan, iaitu akuakultur air tawar (keluasan 50 hektar atau lebih), akuakultur udang laut (10 hektar atau lebih), kawasan pembangunan atau kerja tanah (kurang daripada 50 hektar). 

Turut tertakluk kepada peraturan itu ialah penternakan selain babi (ternakan ayam, itik, angsa belanda, ayam mutiara, puyuh, merpati, burung unta, burung emu – 20,000 ekor atau lebih) (ternakan lembu, kambing, berbiri, kerbau, rusa – 250 ekor atau lebih) manakala untuk penternakan babi (seekor atau lebih), haiwan kesayangan (anjing atau kucing 20 ekor atau lebih) dan akhir sekali pencucian pasir (tanpa mengira kuantiti pasir) dan perlombongan/kuari (kurang daripada 250 hektar).

Negeri Selangor merupakan perintis kepada undang-undang ini dan disusuli oleh Kedah melalui Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) yang berobjektif utama untuk mengawal selia punca pencemaran yang tidak termaktub di bawah AKAS 1974, selain bertujuan melengkapi undang-undang sedia ada. 

APA ITU ‘PENCEMARAN’?

“Seksyen 41(3)(d) dan Seksyen 79 (Pindaan 2020) Enakmen LUAS adalah dua seksyen yang berkisar tentang larangan ‘pencemaran’ air dan melepaskan bahan pencemar ke dalam jasad air.

“Namun adakah ‘pencemaran’  yang dimaksudkan  di sini hanya meliputi pencemaran yang mengganggu operasi loji rawatan air? Bagaimana dengan pencemaran yang menjejaskan hidupan akuatik seperti ikan dan sebagainya?

 “Bagaimana dengan pencemaran yang menjejaskan hidupan dan aktiviti masyarakat setempat? Bukankah ini juga pencemaran yang harus ada tindakan pencegahan?,” soal Zaki. 

Menurutnya, dalam memastikan kelangsungan kualiti air Sungai Batang Kali dan juga sungai-sungai lain, pematuhan terhadap pelepasan air sisa mengikut had piawaian sedia ada sahaja belum mencukupi sekiranya tidak disertakan dengan pelaksanaan Jumlah Beban Harian Maksimum atau TMDL. 

“Harapan saya supaya kawalan beban dapat dilaksanakan untuk segala punca, ini sejajar dengan konsep Total Maximum Daily Load (TMDL) yang diuar-uar. Jangan lupa, ‘T’ dalam TMDL bermakna ‘total’, iaitu mengambil kira kesemua punca pencemaran dalam lembangan sungai, sama ada punca tetap atau tidak tetap,” tegasnya.

TMDL merupakan satu pendekatan bagi menilai keupayaan sesuatu sungai/sumber air menampung beban bahan pencemar yang tidak akan menjejaskan kualiti airnya. Bagaimanapun, akta sedia ada termasuk AKAS 1974 tidak mengawal beban pencemaran daripada sisa industri dan penternakan yang dilepaskan ke sungai, sebaliknya hanya mengawal kepekatan sisa. 

BILA AKAN DIBUAT?

“Kita kawal dari segi kepekatan sedangkan kita tidak mengawal beban pencemaran. Sebenarnya, kalau kita nak sungai itu kekal bersih dan tidak tercemar, kita mesti kawal beban pencemaran. 

“Beban ini mengambil kira saiz sungai, berapa banyak (keseluruhan) bahan tercemar dilepaskan (bukan dari segi kepekatan semata-mata). Kerana itu kelulusan lesen untuk projek pembangunan di sepanjang koridor sungai perlu mengambil kira aspek saiz dan kapasiti sungai untuk menerima beban pencemaran daripada aktiviti tersebut dalam meneutralkan atau mencairkan kembali sisa,” jelasnya. 

Menurut Zaki, apabila terlampau banyak sisa masuk ke dalam sungai  dan melebihi kapasitinya menampung dan meneutralkan sisa, maka sungai itu berisiko untuk tercemar.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan dan pihak berkuasa negeri Selangor sedar akan kepentingan TMDL dan difahamkan langkah tersebut sedang diambil bagi menilai kemampuan sesuatu sumber air (sungai) untuk menerima beban bahan pencemaran tanpa menjejaskan kualiti airnya.

Untuk tujuan ini, LUAS telah melaksanakan dua kajian TMDL iaitu di Lembangan Sungai Langat dan Sungai Sembah serta akan dilaksanakan di lebih banyak sungai di Selangor. Persoalannya, secepat manakah TMDL ini akan dilaksana di sungai-sungai lain di Selangor?

“Konsep TMDL bukanlah baharu, ia sebenarnya sudah lama dimulakan di negara maju seperti Amerika Syarikat sudah 40 tahun guna TMDL, Korea, Jepun tetapi kita sudah bermula cuma tidak menyeluruh dan tidak diterjemahkan dalam sistem perundangan kita.

“Walhal ketika begitu banyak arus pembangunan di sekitar koridor sungai, TMDL sepatutnya bukan lagi di tahap kajian tetapi diterjemahkan dalam bentuk perundangan,” tegasnya. 

BUKAN MURAH

Mengharapkan pelaksanaan TMDL dalam bentuk perundangan dapat disegerakan, Zaki berkata mengawal punca pencemaran adalah langkah paling mampan dan terbaik yang harus dilakukan secepat mungkin, sama ada oleh kerajaan negeri Selangor mahupun persekutuan. 

Pastinya kita tidak mahu melihat Sungai Batang Kali yang ketika ini berada di Kelas 2 mahupun sungai lain di Malaysia yang masih lagi baik kualiti airnya, menjadi tercemar. 

Menurut satu laporan media, berdasarkan data program pengawasan kualiti air sungai di 471 sungai di Malaysia, 32 batang sungai diklasifikasikan sebagai tercemar Kelas 4 dan Kelas 5 yang mana  25 sungai iaitu 16 di Johor, lima di Lembah Klang, tiga di Pulau Pinang dan satu di Melaka dikategorikan sebagai Kelas 5 iaitu pencemaran teruk.

Kerana itu, kata Zaki  khazanah yang masih ada tersebut perlu dijaga dan dilestarikan sebaiknya oleh semua pihak, apatah lagi sungai merupakan sumber air, misalnya Sungai Batang Kali yang bercantum dengan Sungai Liam dari Hulu Yam Lama dan bersambung dengan Sungai Selangor yang mengalir hingga ke Bukit Beruntung, merupakan antara sumber air bersih bagi penduduk, khususnya di Hulu Selangor.

“Bagaimana kita hendak pastikan Sungai Batang Kali ini terus kekal Kelas 2 hingga 20, 30 tahun akan datang? Ini persoalannya, memandangkan mungkin terdapat (pelbagai) punca pencemaran baharu pada masa depan.

“Kita boleh merawat atau memulih sungai yang tercemar, tetapi ini melibatkan kos sangat tinggi dan mengambil jangka masa sangat panjang. Jadi, mengapa kita tidak mahu mengekalkan apa yang ada sebaiknya kerana air merupakan sumber keperluan setiap manusia. 

“Bukankah mencegah itu lebih baik daripada merawat?,” katanya.- BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here