Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
[VIDEO] PM ziarah 5 beradik yatim piatu akibat Covid-19 -

[VIDEO] PM ziarah 5 beradik yatim piatu akibat Covid-19

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tersentuh hati dengan nasib yang menimpa lima beradik yang bergelar yatim piatu sekelip mata akibat Covid-19.

Menerusi perkongsian di laman Facebook beliau, dapat dilihat Ahli Parlimen Bera itu menziarahi lima beradik itu di kediaman mereka di Kota Perdana, Seri Kembangan semalam. 

Pandemik Covid-19 ini telah mengakibatkan Muhammad Hadhrami Mohd Nasir, 11, Husna Humaira, 9, Muhammad Harraz, 7, Muhammad Hawwas, 6 dan Hannan Humaira, 3, kehilangan kedua-dua ibu bapa mereka Ida Haryanie, 38, meninggal dunia pada 7 Oktober lalu manakala bapa mereka, Mohd Nasir Tahal, 46, terlebih dahulu meninggal dunia pada 11 Ogos lalu ketika kedua-duanya menerima rawatan di Hospital Putrajaya akibat Covid-19.

“Kelima-lima mereka kini dijaga oleh datuk, nenek serta bapa dan ibu saudara secara bergilir untuk mencurah kasih sayang kepada mereka.

“Betapa besar dugaan yang dilalui oleh Hadhrami dan adik-adiknya pada usia yang amat muda. Hanya Allah SWT yang mengetahui,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Ismail Sabri turut meluangkan masa makan bersama mereka dengan duduk bersila di lantai. 

Abdul Razak Basiron, 67 yang merupakan datuk kepada lima beradik tersebut turut tidak menyangka beliau dapat meluangkan masa makan bersama Perdana Menteri dengan duduk bersila di lantai. 

Berikutan itu, Ismail Sabri mengucapkan terima kasih kepada seluruh ahli keluarga, kementerian, agensi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta serta masyarakat yang membantu lima beradik terbabit.

“Semoga dengan usaha murni ini dapat membantu Hadhrami dan adik-adiknya dengan semangat Keluarga Malaysia.

“Saya akan terus beri perhatian kepada Keluarga Malaysia terutama dalam kes seumpama ini demi kelangsungan hidup terutama dari aspek pendidikan mereka,” katanya.

Selain mengucapkan terima kasih di atas sumbangan serta bantuan yang diterima, lima beradik tersebut juga berharap Ismail Sabri dapat datang menjenguk mereka semula selepas ini. – SB