PESAWAT A400M Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) diterbangkan hari ini untuk membawa enam tan kelengkapan Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (HMATM) Sibu.
Pesawat berkenaan berlepas dari Pangkalan Udara Subang, pada pukul 7 pagi dan selamat tiba di Lapangan Terbang Sibu pada pukul 8.50 pagi.
Mejar Mohd Hafiz Mat Yusof menjadi juruterabng pesawat itu dibantu Kapten Noor Mohamad Farhan Mohamad Noor dan Kapten Muhammad Idris Ismail bersama-sama empat kru dari Nombor 22 Skuadron TUDM.
Jurucakap Markas 9 Briged Infantri berkata, antara kelengkapan hospital dan peralatan perubatan yang diterima adalah khemah DRASH, khemah utilis, pendingin hawa, katil medan, alat bantuan oksigen serta pelbagai peralatan perubatan lain.
“Penghantaran udara menggunakan pesawat pengangkut TUDM ini adalah bagi membantu Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menghantar barangan logistik dan perubatan dalam usaha melengkapkan keperluan HMATM Sibu yang akan beroperasi dalam masa terdekat.
“HMATM Sibu ditubuhkan bagi membantu pihak Hospital Sibu menguruskan pesakit bukan kes COVID-19, sekali gus meringankan tugas staf perubatan di Hospital Sibu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, Panglima 9 Briged Infantri, Brigedier Jeneral Shamshor Jaafar dan Timbalan Komander Rejimen 510 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Ahmad Halim Mohd Rosli turut menyaksikan ketibaan kelengkapan HMATM Sibu itu, hari ini.
Apabila beroperasi sepenuhnya, HMATM Sibu yang mempunyai 100 katil itu akan diatur gerak oleh staf perubatan dari 1 Batalion Ubat.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.