BATALION 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) berjaya merampas pelbagai barangan bernilai lebih RM6.3 juta menerusi 132 kes penyeludupan sepanjang penugasan Op Benteng COVID di sempadan Malaysia-Thailand sejak 16 September lepas hingga hari ini.
Pegawai Pemerintah PGA7 Superintendan Azhari Nusi berkata penugasan selama sebulan itu turut menahan 113 individu yang terbabit dalam kegiatan penyeludupan dan jenayah rentas sempadan.
Beliau berkata PGA7 dengan bantuan Batalion 9 PGA (PGA9) telah mengambil alih penugasan Op Benteng COVID Kelantan daripada Batalion 8 PGA pada 16 September lepas.
“Walaupun berhadapan dengan situasi penularan COVID-19 namun hasil komitmen padu yang ditunjukkan oleh pegawai dan anggota, tugas membanteras penyeludupan di sempadan berjaya dilakukan.
“Kebanyakan tangkapan dan rampasan barangan yang dilakukan bagi tempoh penugasan itu melibatkan rampasan daun ketum, penyeludupan hidupan liar (eksotik), barangan kawalan bersubsidi (tepung, minyak masak dan petrol) serta barangan kontraban (pakaian, cecair vape, haiwan ternakan dan pelbagai jenis makanan),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azhari berkata menerusi penugasan itu juga pihaknya mengesan kewujudan trend penggunaan kenderaan mewah seperti Toyota Alphard dan pacuan empat roda bercermin gelap bagi menyeludup pendatang asing.
“Modus operandi kumpulan ini dikesan menerusi penguatkuasaan sekatan jalan raya (SJR) di Lalang Pepuyu dan Cabang Empat Salam di kawasan tanggungjawab (KTJ) Op Benteng COVID,” katanya.
Beliau berkata penugasan Op Benteng COVID itu akan diteruskan oleh PGA9 bermula hari ini selepas majlis serah terima tugas di Markas Taktikal PGA Lubok Setol di sini hari ini yang disaksikan Timbalan Komander Briged Tenggara PGA Asisten Komisioner Sanudin Md Isa.
— BERNAMA
Karkas babi hutan yang dimuatkan di dalam sebuah van sebelum dirampas anggota PGA7 di Kampung Degong, Telaga Mas, Kelantan (Gambar: Ihsan PGA7)
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.