KJ berhak ‘susahkan’ hidup antivaksin – Che’gu Bard

0
540

Oleh Hussaini Amran

RAMAI golongan antivaksin tidak berpuas hati apabila Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menegaskan bahawa beliau akan ‘membuatkan hidup mereka susah’.

Macam-macam alasan digunakan mereka termasuk melanggar hak asasi serta mengamalkan diskriminasi terhadap golongan yang berdegil tidak mahu divaksin tanpa sebab yang kukuh.

Namun, aktivis Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin atau lebih mesra dengan gelaran Che’gu Bard berpandangan, Khairy berhak bersikap tegas terhadap golongan antivaksin.

“Sebagai Menteri bertanggungjawab perihal kesihatan wajar Khairy bersikap tegas dalam pendekatannya melindungi kesihatan #KeluargaMalaysia,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Badrul Hisham menambah, beliau dan ramai lagi rakyat Malaysia menyokong kenyataan Khairy itu kerana hak majoriti rakyat yang mahu hidup dalam persekitaran selamat hendaklah diberi keutamaan.

“Jangan sesekali kerana nak jaga kononnya hak dua atau tiga peratus rakyat yang terdiri dari mereka yang terperangkap dalam ilusi antivaksin, kita merisikokan dan menindas hak majoriti besar rakyat yang hendak hidup dalam persekitaran selamat,” jelasnya.

Beliau turut mempertahankan hak majikan mengenakan peraturan agar setiap pekerja mesti mengambil vaksin.

“Dalam hal pekerjaan contohnya sebagai cikgu atau tentera lelaki perlu kemas dan tidak boleh berambut panjang.

“Ya, hak anda jika sebagai lelaki mahu berambut panjang atau nak berseluar pendek ke tempat kerja tetapi pekerjaan itu ada syaratnya dan jika kamu nak pertahan hak berambut panjang sila berhenti kerja.

“Sesuai dengan zaman maka vaksin menjadi syarat pekerjaan majikan tertentu. Anda boleh pertahan hak anda tapi hak majikan mengenakan syarat sesuai pekerjaan perlu dihormati,” katanya.

Khairy dilaporkan berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran 11th National Acute Myocardial Infarcation Course (NAMIC) 2021 di Kuala Lumpur, semalam.

“Pendekatan kita adalah, maaf cakap, kita akan buat hidup anda susah kerana anda tidak divaksin kerana anda memilih untuk enggan divaksin,” tegasnya.

Menurut beliau, kerajaan juga sedang mempertimbangkan untuk mewajibkan saringan secara mingguan kepada mereka dan kosnya perlu sendiri ditanggung, bukan melalui dana kerajaan.

Tegasnya, meskipun vaksin tidak diwajibkan namun kerajaan tidak akan ‘memberi muka’ kepada golongan antivaksin kerana mereka sendiri memilih untuk menolak vaksin.

“Kalau anda tidak divaksin kerana masalah kesihatan, tidak mengapa. Kita akan beri pengecualian dengan memberikan e-sijil MySejahtera tapi kalau anda sendiri memilih untuk tidak divaksin, kita akan ‘menyusahkan’ hidup anda.

“Kita akan terus sukarkan hidup anda, tidak boleh makan di restoran, tidak boleh pergi ke pusat beli-belah,” katanya lagi – . SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here