Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Kerajaan cadang tambah renjer untuk kurangkan konflik hidupan liar dengan manusia -

Kerajaan cadang tambah renjer untuk kurangkan konflik hidupan liar dengan manusia

KERAJAAN bercadang menambah bilangan renjer hutan bagi membantu mengawal aktiviti pencerobohan sekali gus mengekalkan habitat semula jadi haiwan liar di negara ini, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata setakat ini kerajaan telah melantik lebih 600 renjer yang mempunyai kepakaran, termasuk untuk menjaga Hutan Simpan.

Katanya daripada jumlah itu lebih 400 renjer adalah dalam kalangan masyarakat Orang Asli, manakala selebihnya veteran tentera dan polis yang telah diberikan latihan secukupnya.

“Pasukan renjer ini dilatih dan berkebolehan mengendalikan kes dalam hutan termasuk menjaga kawasan habitat hidupan liar, sekali gus dapat menghubungkan haiwan itu dengan manusia, contohnya gajah dan sebagainya.

“Kawalan ini penting supaya dapat mengurangkan konflik antara hidupan liar dengan manusia. Konflik ini mungkin berpunca daripada pembangunan dan pembukaan kawasan, yang menyebabkan habitat semula jadi mereka diusik atau diteroka,” katanya ketika ditemui pemberita di Kota Bharu, semalam.

Ketika ditanya sama ada kerajaan akan menambah pasukan renjer dalam kalangan Orang Asli, beliau berkata individu yang berkepakaran dalam bidang berkenaan hampir tiada lagi.

“Kita memerlukan lebih ramai renjer, kalau mahu lantik dalam kalangan Orang Asli, mereka yang berpakaran hampir habis. Namun, jika ada yang berminat menyertai pasukan tersebut, kita akan latih mereka.

“Mereka juga diberikan elaun khas sehingga mencecah lebih RM2,000 sebulan sekali gus memberi pendapatan kepada golongan itu,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan daerah Kemaman di Terengganu mencatatkan bilangan kes gangguan gajah liar tertinggi di Semenanjung Malaysia, selain Besut, Dungun, Hulu Terengganu dan Setiu.

Menurut laporan berkenaan, Takiyuddin menyatakan dalam tempoh 2015 hingga Ogos 2021, pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menerima sebanyak 251 aduan daripada penduduk kampung dan pengusaha ladang, dengan anggaran kerugian kira-kira RM3.5 juta. – Bernama