[VIDEO] Kalau tak suka tak apa, terima kasih…- Meerqeen

0
1261

“Kalau ada yang tak suka dengan suara saya tak mengapa. Tiada apa yang dapat saya katakan melainkan berterima kasih kepada semua yang sentiasa memberikan sokongan sejak dahulu,” kata Meerqeen.

Ada yang suka dan tak kurang juga memberikan kritikan pedas saat dia melancarkan lagu Menunggu awal bulan ini. Ada yang berpendapat dia masih terlalu ‘hijau’ untuk menyanyi sementelah belum berkemampuan menerobos bidang tersebut.

Tidak pernah merasa terkesan dengan kata-kata yang dilemparkan segelintir pihak, pelakon yang berusia 20 tahun ini optimis yang dia mampu melakukan apa sahaja untuk merealisasikan impiannya bergelar anak seni.

“Saya tahu ada yang kurang senang dengan kemampuan saya menyanyi memandangkan saya seorang pelakon. Semua orang mempunyai impian dan cita-cita, kenapa perlu menghadkan potensi diri kerana kata-kata orang lain.

“Apa yang paling penting saya berusaha memberikan pembaharuan untuk kerjaya diri. Mana yang kurang saya akan tampung dengan pelbagai persediaan agar tidak dilihat syok sendiri,” katanya kepada SatuBerita.

Tangkap layar lirik video Meerqeen – Menunggu

Diperdengarkan secara rasmi 1 Oktober lalu, Menunggu merupakan lagu hasil ciptaan komposer muda, Aliff Iskandar, 21. Jelasnya saat mendengarkan lagu ini buat kali pertama, ada sesuatu yang menarik perhatiannya sehingga bersetuju untuk merakamkan lagu ini.

Menggunakan khidmat Rudy Nastia sebagai penerbit dan Bob Yusof sebagai guru vokal, Meerqeen menganggap ini merupakan kerjasama yang baik saat merakamkan lagu ini bulan Mei yang lalu.

“Saya percaya sesiapa sahaja mampu melakukan apa sahaja asalkan ada kemahuan. Bidang nyanyian benda baharu dan memang membuatkan saya risau pada peringkat awal. Tapi apabila semua proses sudah dilalui, ia memberikan pengalaman yang berharga.

“Sudah tentu sokongan orang sekeliling membuatkan saya bersemangat merakamkan Menunggu ketika itu,” katanya yang popular dengan drama Angkara Cinta dan Senorita.

Bercerita mengenai pengalamannya pula, Meerqeen menjelaskan dia beruntung dapat bekerjasama dengan Aliff yang juga merupakan seorang komposer muda. Mempercayai usia bukanlah penghalang untuk menghasilkan karya yang baik, mereka serasi bekerjasama sejak dari awal lagi.

“Jika ditanya apa perancangan seterusnya, saya mahu menunggu maklum balas daripada pendengar terhadap lagu ini. Jika ada rezeki, Insya-Allah saya akan terus merakamkan lagu lain namun fokus utama tetap kepada bidang lakonan,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here