VIDEO tular seorang lelaki sedang berdiri melakukan pergerakan solat di tengah jalan semalam dikenalpasti lelaki tersebut merupakan seorang warganegara dan berusia dalam lingkungan 30 tahun.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh berkata, lelaki tersebut sedang menerima rawatan pesakit psikiatri di Hospital Selayang yang telah melarikan diri daripada wad.
“Pihak Hospital Selayang telah dihubungi dan menghantar ambulan ke lokasi kejadian dan membawa lelaki tersebut ke hospital untuk rawatan selanjutnya,” katanya menerusi satu kenyataan, semalam.
Menurut Sarifudin, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada jam 3.35 petang, semalam, di Jalan Ipoh berhampiran Shell Taman City menghala ke pusat bandar.
“Anggota JSPT Kuala Lumpur yang bertugas membuat rondaan telah menerima maklumat berkaitan dengan kesesakan di Jalan Ipoh, sampai ke tempat kejadian, mendapati seorang lelaki sedang berdiri di tengah jalan sambil melaungkan azan dan bersolat.
“Anggota bertindak memujuk lelaki tersebut dan membawanya ke Stesen Minyak Shell berhampiran untuk tujuan menenangkannya,” ujar Sarifudin.
Tambah beliau, lelaki tersebut juga memakai gelang putih yang menyerupai gelang hospital.
Semalam, perkongsian video berdurasi 30 saat itu tular selain ratusan komen netizen yang rata-rata mendakwa lelaki terbabit mungkin kurang siuman namun masih mampu berfikir mengenai suruhan ditetapkan Allah SWT. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.