MAJLIS Pemulihan Negara (MPN) hari ini bersetuju supaya sebuah Pasukan Petugas Khas dibentuk bagi memperhalusi perkara-perkara berkaitan pembiayaan, tenaga kerja dan lain lain keperluan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Pasukan Petugas Khas itu akan melibatkan Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia (BNM), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Sumber Manusia dan kementerian-kementerian lain yang berkaitan.
Menurut beliau, Pasukan Petugas Khas ini akan membentangkan kajian terprinci dan syor-syor tertentu kepada MPN dalam tempoh sebulan daripada mesyuarat MPN, hari ini.
“Ini kita anggap adalah amat penting supaya MPN akan dapat mengetahui manakah sektor-sektor PKS yang paling terkesan, tetapi sektor itu yang paling penting supaya kita tahu apa kehendak dan bentuk sokongan, bantuan.
“Samaada dalam bentuk pembiayaan insentif dan mengenai keperluan perbankan, dan juga keperluan dari segi tenaga manusia ataupun pekerja, kita nak tahu sektor mana yang perlukan pekerja, berapa ramai, bila, dan bagaimana kita hendak selesaikan masalah pekerja-pekerja itu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MPN, di Lanai Kijang, Bank Negara Malaysia (BNM), di sini, pada Jumaat.
Tambah Muhyiddin, MPN juga bersetuju supaya agihan bantuan makan kepada golongan rentan perlu lebih berpendekatan Seluruh Negara.
“Peranan NGO dalam hubungan ini perlu diperkasa dengan bantuan dan kerjasama semua agensi yang terlibat dalam pemberian bantuan,” ujarnya.
Mesyuarat itu turut dihadiri wakil-wakil dari parti-parti Pembangkang iaitu Wong Chen (Subang – PKR), Chong Chieng Jen (Stampin – DAP), Dr. Haji Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor – AMANAH), Tan Sri Bernard Giluk Dompok (Parti United Progressive Kinabalu Organization UPKO). – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.