Malaysia menjana lebih RM7.2 bilion potensi perniagaan dengan beberapa syarikat berpangkalan di luar negara dalam tempoh dua minggu pertama penyertaannya di Expo 2020 Dubai, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, jumlah keseluruhan untuk potensi perdagangan dan pelaburan tersebut diperolehi menerusi 14 memorandum persefahaman (MoU), tiga surat niat (LoI) dan dua memorandum kerjasama (MoC) yang ditandatangani 14 syarikat Malaysia dengan rakan strategik dari luar negara.
Katanya, syarikat luar negara tersebut berpangkalan di China, Mesir, India, Iran, Oman, Qatar, United Kingdom (UK), Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Amerika Syarikat (AS).
“MoU itu antara lain merangkumi teknologi rantaian blok (blockchain) dan ‘internet of things’ (IoT), minyak dan gas, robotik dan automasi, penternakan akuatik dan bioteknologi, sektor berintensifkan teknologi, kenderaan udara tanpa pemandu, teknologi termal dan ultrabunyi serta bidang pembangunan dan penyelidikan teknologi pengekstrakan herba.
“LoI dan MoC pula melibatkan fabrikasi 1,000 unit modular rumah pintar hijau, pengedaran eksklusif kapal tanpa pemandu, sistem pertanian menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan ramalan penyelenggaraan bagi penyelesaian projek,” katanya dalam kenyataan.
Ismail berkata, ia adalah pencapaian yang amat positif sepanjang dua minggu pertama penyertaan negara dalam ekspo mega itu, ketika negara berada dalam fasa pemulihan Covid-19.
Beliau turut menjangkakan momentum itu akan berterusan untuk tempoh 25 minggu akan datang dengan sokongan pelbagai kementerian, agensi dan kerajaan negeri yang terlibat.
“Kerajaan juga yakin akan melepasi jumlah sasaran antara RM8 bilion hingga RM10 bilion, terutamanya potensi perniagaan dan perdagangan dalam ekspo selama enam bulan ini.
“Saya mengucapkan tahniah kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) selaku kementerian menerajui penyertaan ekspo ini yang mana Pusat Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) adalah agensi pelaksana,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.