PEMENANG tempat ketiga Hero Remaja 2017, Harris Annuar menghadapi situasi melucukan namun tetap mencemaskan apabila dirinya disengat seekor tebuan tanah, pagi tadi.
Menerusi satu hantaran di akaun Instagram rasminya, Harris memuat naik gambar serta video yang memaparkan wajahnya yang bengkak teruk terutamanya di bibir setelah disengat oleh tebuan.
Menceritakan kembali situasi ketika disengat tebuan menerusi satu video di Instagram, Harris menjelaskan bahawa dirinya ketika itu sedang mandi sekitar jam 6 pagi tadi dan tidak menyedari seekor tebuan menghinggap pada tuala yang digunakannya ketika itu.
“Saya cuci muka dan selepas selesai, saya terus ambil tuala untuk lap muka. Bila saya tekap muka pada tuala, tebuan itu terperangkap antara muka dan tuala saya. Terus tebuan itu sengat saya sampai jadi macam ini,” katanya sambil memuncungkan bibirnya yang bengkak.
Biarpun dalam keadaan muka dan bibir yang bengkak dan kesakitan, Harris masih mampu ketawa ketika menjelaskan situasi kejadian berkenaan yang disifatkannya menggelikan hati.

Bercakap kepada portal Remaja hari ini, Harris memberitahu dirinya kini perlu ditahan di wad untuk dipantau oleh doktor namun berada dalam keadaan stabil.
“Harris sekarang berada dalam ‘stage 2’ yang menyebabkan tekanan darah jadi rendah.
“Harris perlu ditahan di wad untuk rawatan susulan kerana doktor hendak pantau keadaan jantung. Doktor ada cakap tadi, kalau lambat bertindak, sengat ini boleh bawa maut,” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengikut terhibur dengan keadaan bibirnya yang bengkak akibat sengatan itu, malah ada yang menyangka Harris menggunakan ‘filter’ untuk berjenaka dengan pengikut-pengikutnya.
Bagaimanapun, pengikutnya tetap mendoakan kesembuhan Harris dan menzahirkan rasa lega setelah melihat keadaannya yang stabil dan ceria.—SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.