[VIDEO] Hilang sudah rasa terhina, Anwar gembira kini setaraf menteri

0
550

Datuk Seri Anwar Ibrahim GC semalam secara rasmi menerima surat pengesahan naik taraf status pejabat Ketua Pembangkang setara dengan Pejabat Menteri daripada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.


Kelayakan itu diterima susulan daripada Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani antara Kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) pada 13 September lalu.


Difahamkan status Ketua Pembangkang Setara Menteri melayakkan beliau mempunyai seorang Setiausaha Politik, Setiausaha Sulit Kanan, Setiausaha Sulit , Pegawai Tugas-tugas Khas, Pegawai Khas, Pengawal Peribadi, kemudahan perumahan, pemandu dan kereta rasmi.


Sebelum itu, Perdana Menteri Kelapan Tan Sri Muhyiddin Yassin pernah menawarkan perkara yang sama dalam persefahaman rentas parti kepada blok pembangkang malah lebih baik iaitu Ketua Pembangkang bertaraf Menteri Kanan tetapi ditolak mentah-mentah oleh Anwar.


Malah Anwar menyifatkan tawaran yang bertujuan membolehkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) meneruskan usaha menangani pandemik Covid-19 itu sebagai satu penghinaan besar kepadanya dan kepada parti-parti pembangkang.


Tanpa sempat dibawa ke meja perundingan bagi membincangkan tawaran tersebut, Anwar dan sekutu Pakatan Harapan yang lain seperti Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang menolak mentah-mentah tawaran tersebut.


Ketika menolak tawaran Muhyiddin, Anwar dengan tegas berkata: “Tak pernah saya sebut. Tak pernah saya minta. Tak pernah saya fikir pun munasabah untuk dalam keadaan pandemik, ekonomi yang meleset ini mahu dapat RM40,000, RM50,000 gaji tambahan dan kemudahan setaraf Menteri Kanan.

“Saya tidak langsung berfikir ini wajar dan munasabah. Takkanlah ini boleh dibuai. Bagi saya satu penghinaan, orang nak dapat RM50, RM100 tambahan sebulan untuk cari nafkah anak-anak pun susah, kamu pelawa Ketua Pembangkang RM40,000, RM50,000 sebulan tambahan dengan segala status dan sebagainya.”


Bagaimanapun semalam, Anwar dengan penuh rasa gembira menerima tawaran yang sebelum ini disifatkan beliau sebagai penghinaan besar kepadanya. Walaupun cita-cita politik beliau untuk menjadi Perdana Menteri masih belum kesampaian, kejayaan menjadi Ketua Pembangkang setaraf Menteri sudah cukup menggembirakan Anwar sehingga beliau terus lupa kepada `penghinaan’ sebelum ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here