KBS akan bantu Hafizh terus berlumba: Faizal Azumu

0
545

SEKIRANYA Hafizh Syahrin Abdullah mahu menamatkan karier akibat kekangan kewangan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersedia menghulurkan tangan bagi memastikan dia kekal dalam Kejuaraan Motosikal Dunia, musim depan.

KBS akan mencari jalan penyelesaian membantu pelumba Moto2 negara itu untuk terus beraksi selepas tersebar khabar angin mengatakan dia mahu menamatkan kariernya selepas berakhir saingan musim ini.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata jika atlet negara mempunyai masalah, KBS akan terlebih dahulu mendengar sebelum sedaya upaya memberikan pertolongan.

“Itu tanggungjawab kita, yang penting beliau juga kena berusaha dan perlu ada semangat, Insya-Allah kita akan dapatkan satu titik pertemuan untuk memastikan beliau terbela,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan rasmi ke Institut Sukan Negara (ISN) di sini, hari ini.

Sebelum ini, Hafizh yang mewakili pasukan NTS RW Racing GP mengakui tidak dapat melihat masa depannya berlumba pada musim 2022 disebabkan faktor kekangan kewangan kerana untuk terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri bagi memenuhi tuntutan pasukan.

Beliau terdahulu memberi bayangan bersedia untuk menamatkan perjalanan kariernya selama lapan tahun dalam saingan Kejuaraan Motosikal Dunia menerusi hantaran di Instagram miliknya dengan menggamit perjalanan kariernya sejak 2014.

Dalam perkembangan berasingan, Ahmad Faizal berkata dalam tempoh yang singkat di kementerian itu beliau bersama warga kerja KBS telah mewujudkan akaun satelit industri sukan.

Ahmad Faizal berkata ia kerana sehingga kini tiada data untuk menunjukkan betapa besarnya industri sukan negara.

“…dari segi pakaian sukan, pembuatannya, peralatan sukan, perniagaan dari segi fasiliti sukan dan sebagainya kita belum ada data lengkap,” kata beliau.

Bercakap mengenai industri sukan, Ahmad Faizal berkata KBS mengalu-alukan penglibatan atlet atau bekas atlet untuk terlibat dalam memberi sokongan kepada industri itu serta meraih pulangan daripadanya.

“Saya tak nak atlet-atlet bila bersara meninggalkan terus bidang tersebut dan pergi ke bidang lain seterusnya memulakan kehidupan baharu. Kehidupan baharu dalam bidang yang sama boleh diteruskan kerana industri sukan itu cukup besar dan boleh beri pulangan yang banyak dari segi pendapatan,” katanya.

Dalam pada itu, lawatan rasmi Ahmad Faizal hari ini bagi meninjau fasiliti dan operasi ISN selaku agensi penyedia perkhidmatan saintifik, nasihat, perundingan dan perkhidmatan berkaitan sains sukan dan perubatan sukan kepada atlet negara. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here