SEBANYAK 150 pasukan melibatkan 2,000 anggota dan pegawai polis Pulau Pinang akan bertugas di lokasi-lokasi popular di seluruh negeri itu dalam persediaan menerima anggaran 50,000 pelancong hujung minggu ini.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Fisol Salleh berkata, kesemua mereka akan mula bertugas esok dalam memantau lokasi tumpuan pelancongan di kelima-lima daerah di negeri itu.
Kata beliau, pasukan polis itu akan memberi tumpuan di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan pelancong antaranya kawasan pantai, tempat perkelahan, taman burung dan restoran.
Jelas beliau, pemeriksaan secara ‘snap check’ atau rawak akan dilakukan bagi memastikan setiap individu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Selain itu pasukan trafik juga aka bersedia di laluan utama bermula malam ini bagi memastikan aliran kemasukan kenderaan khususnya ke bahagian pulau negeri ini lancar,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan kereta peronda pelbagai guna Proton X70 kepada PDRM Pulau Pinang yang disumbangkan syarikat Inari Amerton Berhad hari ini.
Dalam pada itu, Fisol mengingatkan orang ramai sentiasa mematuhi SOP memandangkan tiada lagi sekatan jalan raya dalam mengawal pergerakan rentas negeri ketika ini.
Jelas beliau, kelonggaran itu bagaimanapun hanya diberikan kepada individu yang sudah lengkap dua dos vaksin dan mereka yang belum menerima vaksin tidak dibenarkan merentas negeri.
“Sehubungan itu gunakanlah peluang ini sebaiknya dengan menjaga penjarakan sosial dan sentiasa mematuhi peraturan dalam kita bersama-sama mengekang penularan Covid-19,” katanya. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.