[VIDEO] Muafakat Nasional sudah tidak relevan, UMNO tanding bersendirian PRN Melaka

0
635

DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi isyarat persefahaman dengan PAS menerusi Muafakat Nasional bakal berakhir apabila menyifatkan gagasan kerjasama tersebut sudah tidak relevan.

Justeru, Presiden UMNO itu tidak menolak partinya akan bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan pilihan raya umum (PRU) secara bersendirian atas bendera Barisan Nasional (BN).

Ahmad Zahid berkata, selain sudah tidak relevan, Muafakat Nasional tidak pernah didaftarkan secara rasmi ia tidak menjadikan UMNO terikat dengan sebarang syarat untuk meneruskan kerjasama.

“Oleh kerana MN ini tidak pernah didaftarkan maka saya tidak nampak ada cahaya terang untuk MN itu direalisasikan sebagaimana PRK-PRK (pilihan raya kecil) yang pernah diadakan.

“Biarlah UMNO bertanding dengan panji-panji BN secara solo. Dan insya-Allah rakyat memilih parti yang terbaik,” kata dalam program bual bicara ‘Jawab, Saya Tanya’ bertajuk ‘PRU15: Membentuk Atau Membina Arus?’ yang disiarkan secara dalam talian malam tadi.

Ahmad Zahid berkata, keputusan memutuskan kerjasama dengan PAS juga sama dengan langkah yang diambil terhadap Bersatu sebelum ini dan berharap ahli-ahli UMNO akan menghormati pendirian tersebut.

“Ketetapan telah dibuat dan saya sebagai presiden menghormati bahawa dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti kita tidak akan bekerjasama dengan Bersatu.

“Saya fikir itulah kehendak di kalangan ahli-ahli UMNO dan kepimpinan UMNO di seluruh negeri Melaka. Saya harap mereka yang mendengar apa yang saya nyatakan ini adalah ekoran daripada suara hati dan suara hati politik mereka,” katanya.

UMNO semasa Perhimpunan Agung 2020 pada Mac lalu membuat ketetapan memutuskan hubungan kerjasama dengan Bersatu, ia juga menyaksikan 15 Ahli Parlimen (MP) yang diketuai Ahmad Zahid menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ditanya apakah dia kecewa dengan Muafakat Nasional, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menafikannya namun menegaskan bahawa Umno telah “dikhianati berulang kali”.

“Saya tidak pernah kecewa sebagai seorang orang ahli politik tetapi kita harus tahu bahwa bila kita berkongsi, terutamanya berkongsi hidup, kita harus saling percaya mempercayai dan kita jangan khianat mengkhianati.

“Cukuplah kalau pengkhianatan itu dilakukan sekali.

“Tetapi kalau telah berulang kali, bukan kepada UMNO tetapi kepada pelbagai pihak, saya fikir itu harus dinilai semula,” katanya tanpa menjelaskan lebih lanjut pengkhianatan yang dimaksudkan.

UMNO dan PAS memeterai piagam bersama untuk membentuk Muafakat Nasional semasa kedua-dua parti itu menjadi pembangkang.

Bagaimanapun selepas Pakatan Harapan (PH) dijatuhkan, PAS menyertai Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Bersatu tanpa berbincang terlebih dahulu dengan UMNO.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here