Warga Singapura mengaku tidak bersalah aniaya kanak-kanak autisme

0
38

SEORANG penjaga wanita yang videonya tular di media sosial kerana mengasari seorang kanak-kanak lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) di sebuah Pusat Intervensi Autisme, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang di sini hari ini atas pertuduhan melakukan penganiayaan terhadap kanak-kanak itu, pada 1 Okt lepas.

Sharifah Mazlan, 51, warga Singapura membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Norhazani Hamzah.

Tertuduh didakwa sebagai penjaga kepada seorang kanak-kanak lelaki autisme berusia enam tahun telah melakukan penganiayaan terhadap kanak-kanak itu di sebuah Pusat Intervensi Autisme, Bandar Baru Ampang, dekat sini pada 10 pagi, 1 Okt lepas.

Ibu kepada tiga orang anak itu dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suriantiazila Muhamad tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan tertuduh seorang warganegara asing selain kes itu telah mendapat liputan meluas media kerana melibatkan kepentingan awam. 

“Sekiranya mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin, pendakwaan mencadangkan satu jaminan tinggi dikenakan berserta syarat-syarat tambahan,” kata Suriantiazila.

Peguam Samry Masri yang mewakili tertuduh memohon anak guamnya diikat jamin atas alasan dia mempunyai tanggungan keluarga dan merupakan ibu kepada tiga anak.

“Meskipun tertuduh seorang warga Singapura, dia telah berkahwin dengan orang tempatan sejak 1998 dan suaminya berasal dari Perak. Tiga anaknya yang berusia 17, 19 dan 21 tahun merupakan warga Malaysia dan dua daripada mereka adalah penghidap autisme,” kata peguam itu yang turut memaklumkan tertuduh dan keluarganya telah menetap di Ampang sejak 20 tahun lepas.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM13,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dia perlu melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali dan pasport diserahkan kepada mahkamah serta menetapkan 9 Dis ini untuk sebutan semula kes tersebut.

Di Mahkamah Majistret, tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tinggal di Malaysia melebihi tempoh sah selama sembilan bulan. 

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di sini pada 12 tengah hari, 8 Okt lepas mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 pindaan 2002.

Kesalahan itu juga boleh dihukum di bawah Seksyen 15(4) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya dan hendaklah dikenakan sebatan tidak lebih enam sebatan, jika sabit kesalahan. 

Majistret Nur Maizan Rahim membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan dua penjamin warga tempatan dan tarikh sama (9 Dis) ditetapkan untuk sebutan semula kes. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here