[VIDEO] Jangan tunggu air tangki kosong

0
570

PENDUDUK di Lembah Klang yang terjejas berikutan gangguan bekalan air selama empat hari bermula jam 9 pagi tadi telah membuat persediaan dengan menyimpan bekalan air, namun bimbang bekalan mereka tidak mencukupi.

Tinjauan SatuBerita di sekitar Taman Cahaya, Ampang Jaya, Selangor mendapati penduduk di kawasan berkenaan masih mempunyai bekalan air pada waktu pagi, namun menjelang tengahari tadi, aliran air pada paip didapati sudah semakin perlahan.

Peniaga gerai makanan, Peggy Tawie, 41, berkata walaupun di kediamannya masih mempunyai bekalan air, dia telah membuat persiapan sejak dengan menyimpan kira-kira 10 kotak polestrin sejak semalam.

“Setakat pagi tadi, masih ada air, saya simpan air dari semalam kalau nak buat pagi ini, tak sempat sebab berniaga.

“Sekarang masih lagi boleh bertahan sebab ada tangki air, kalau air tangki sudah habis, kita berikhtiarlah cari air dekat mana-mana. Kalau terdesak sangat, pergi Bukit Belacan mandi sungai di sana,” katanya.

Bagi pengusaha pasar mini, Mohd Zulkifli Che At, 23, gangguan bekalan air itu akan memberikan masalah kepada perniagaannya jika tangki air simpanan yang disediakan di deretan kedai berkenaan habis digunakan.

“Setakat ini Alhamdulillah masih ada air. Di kedai kami ini pun masih ada air mungkin sebab ada tangki. Tapi, bila habis air tangki habis, memang akan memberikan masalah kepada kami nak buat kerja. Mungkin kami akan mula takung air untuk simpanan,” ujarnya.

Penduduk di Taman Ampang Mewah, Hayati Mahat, 54, yang juga menyimpan beberapa tong air sebagai stok simpanan untuk menghadapi gangguan bekalan berkenaan berkata, tangki air simpanan itu kebiasaannya bergantung kepada penggunaan penduduk setempat.

“Bergantung pada penggunaan kita. Macam saya, duduk tiga orang di rumah mungkin tiada masalah. Kalau orang yang ramai anak, setakat satu hari mungkin akan habis cepat. Kita kena berjimat cermat sebab tiga hari tiada air.

“Insyallah kalau SYABAS hantar air untuk hari seterusnya, tiadalah kita risau sangat terutama waktu kita nak guna ke tandas, nak solat dan sebagainya,”katanya.

Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. sebelum ini memaklumkan gangguan yang hanya akan berakhir Sabtu ini itu berikutan kerja-kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan aset-aset kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1.

Setakat ini, bekalan air masih terkawal dan difahamkan, belum ada mana-mana kawasan yang memerlukan bekalan air menggunakan lori tangki air. –SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here