PRN Melaka: Mesyuarat khas SPR Isnin ini

0
288

SATU Mesyuarat khas Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dijadualkan pada 18 Oktober ini, sekaligus menandakan Pilihan Raya Negeri (PRN) pasti akan diadakan dalam tempoh terdekat.

Sejak Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu, belum ada sebarang petanda bila PRN akan berlangsung kerana ketika ini, fokus utama adalah isu kebimbangan rakyat berkait soal pandemik Covid-19.

Selepas lapan hari menjadi teka teki, akhirnya Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak mengesahkan yang satu mesyuarat Khas SPR akan diadakan Isnin depan.

Ini bermakna, kira-kira 500,000 pengundi di Melaka perlu bersedia untuk membuang undi pada PRN yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

Sebelum ini, status PRN Melaka menjadi tanda tanya kerana terdapat pendapat bahawa tindakan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka tidak wajar.

Ini kerana bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali tidak mempunyai hak untuk menasihati Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam untuk membubarkan DUN Melaka kerana terlebih dahulu telah hilang kepercayaan majoriti ADUN.

Malah, ramai yang membantah berikutan kebimbangan kes Covid-19 akan meningkat seperti mana yang pernah berlaku di Sabah pada tahun lalu.

Mengulas lanjut, Ikmalrudin berkata, mesyuarat itu dijangka memutuskan mengenai tarikh-tarikh penting berkaitan PRN Melaka.

“Mesyuarat Khas tersebut akan dipengerusikan oleh Datuk Abdul Ghani Salleh (Pengerusi SPR).

“Ia akan membincangkan tarikh-tarikh penting PRN DUN Melaka seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut,” katanya.

Perkembangan terkini itu juga dilihat selari dengan perkembangan di peringkat pusat apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kebenaran rentas negeri pada 11 Oktober lalu.

Sebagai rekod, DUN Melaka dibubarkan apabila empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kerajaan negeri.

Empat bekas ADUN itu adalah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas). – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here