Polis rampas 5.21 kg dadah bernilai RM492,000

0
253

Oleh RIZQI ZABIDI

BEBERAPA ketulan mampat heroin base seberat 5.21 kilogram bernilai hampir RM492,000 berjaya dirampas polis dalam serbuan dilakukan di beberapa lokasi di Sungai Petani, Kedah, kelmarin.

Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat, kejayaan itu merupakan hasil risikan dan serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah yang terlebih dulu menahan dua lelaki berumur 21 tahun kira-kira pukul 4.40 petang.

Katanya, pemeriksaan dalam kereta tersebut menemukan heroin base dianggarkan seberat 3.97 kg serta serbuk kimia seberat kira-kira 26 kg.

“Selepas itu tangkapan turut dibuat terhadap dua lelaki berusia 29 dan 33 tahun yang menaiki motosikal dan kereta jenis Perodua Myvi di lokasi sama.

“Hasil tangkapan tersebut, pemeriksaan dijalankan di sebuah rumah di Taman Raja.

Pihak kami kemudiannya menemukan ketulan mampat heroin base seberat kira-kira 2.24 kg di lokasi berkenaan,” katanya.

Pihaknya dalam masa sama turut menahan seorang lagi suspek berusia 36 tahun selepas menahan kenderaan dinaikinya di depan sebuah rumah di Taman Ria Jaya.

“Selain menahan suspek dan merampas dadah, polis turut menyita dua kereta, sebuah motosikal dan wang tunai berjumlah RM74,800 bagi membantu siasatan.

“Kesemua suspek direman selama tujuh hari hingga 18 September depan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Dalam pada itu beliau memaklumkan, sejumlah dadah bernilai lebih RM2 juta akan dibawa ke Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan untuk dilupuskan, esok.

“Pelupusan ini akan dilaksanakan syarikat berdaftar dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi memastikannya mengikut piawaian betul.

“Antara jenis dadah yang akan dilupuskan adalah methamphetamine, eramin 5 dan ganja dengan kesemuanya melibatkan kes-kes antara 2014 hingga 2020 yang sudah pun dibicara dan dijatuhkan hukuman di mahkamah,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here