Kerajaan sedang muktamadkan Pelan Pelaksanaan Dasar – PM

KERAJAAN sedang memuktamadkan Pelan Pelaksanaan Dasar (PPD) di bawah penyelarasan Unit Perancang Ekonomi (EPU) menjelang bulan hadapan bagi memastikan pencapaian hasil yang telah ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Pelan Pelaksanaan Dasar itu menjajarkan strategi dan inisiatif dengan petunjuk prestasi utama (KPI) serta kementerian dan agensi penyelaras serta pelaksana yang bertanggungjawab.

“Satu jawatankuasa pemantauan akan ditubuhkan dan akan dipengerusikan oleh saya sendiri untuk memantau pelaksanaan RMK-12 dengan rapi.

“Saya akan mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pemantauan pertama pada pertengahan bulan November ini.

“Saya juga mengalu-alukan maklum balas daripada Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian berhubung cadangan pelaksanaan dasar dan strategi RMK-12 ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan RMK-12 di Dewan Negara hari ini.

Rancangan Malaysia dari tahun 2021 hingga 2025 itu sebelum ini telah diluluskan di Dewan Rakyat, Khamis lalu selepas dibentang pada 27 September dan dibahas oleh 106 Ahli Parlimen.

Ia akan melalui sesi perbahasan Ahli Dewan Negara sebelum diluluskan di peringkat Dewan Negara.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 29 Oktober ini akan memperincikan butiran program dan projek.

Kata beliau, ia bagi melaksanakan strategi dan inisiatif di bawah RMK-12 serta akan menyokong pencapaiannya.

“Saya optimis dengan tanda-tanda pemulihan ekonomi pada masa ini serta agenda pembangunan negara dalam RMK-12 dan inisiatif Belanjawan 2022 yang akan diumumkan sedikit masa lagi.

“Kita mampu untuk memacu negara ke arah pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan,” jelas beliau. – SB