MENTERI Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad memberitahu Dewan Rakyat hari ini, setakat ini 98.1 peratus kakitangan awam telah lengkap menerima vaksin Covid-19.
Pada masa sama katanya, setakat ini dianggarkan hanya 1.92 peratus daripada 1.6 juta kakitangan awam masih belum mengambil vaksin.
“Program imunisasi masih lagi berjalan dan ia dibuat secara sukarela termasuk kepada kakitangan awam.
“Walau bagaimanapun, jika kerajaan ingin mewajibkan atau memastikan semua 1.6 juta ini menerima vaksin, ia perlukan beberapa syarat atau peraturan dan penglibatan supaya perkara ini dapat dilakukan dengan cara berhemah,” katanya.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Shahruddin Md Salleh (Pejuang-Sri Gading) yang meminta Perdana Menteri menyatakan status dan hak jika penjawat awam tidak mahu mengambil vaksin dan adakah kerajaan akan mengenakan tindakan undang-undang terhadap penjawat awam tersebut.
Menjawab soalan tambahan Shahruddin pula, sama ada kerajaan bercadang untuk melakukan ujian saringan kendiri secara berkala kepada kakitangan awam dan guru, Abdul Latiff berkata, itu merupakan cadangan yang baik.
“Kita boleh bawa dan bincang dalam Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusi Perdana Menteri,” ujar Ahli Parlimen Mersing itu.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.