Dewan Rakyat lulus dua RUU pembiayaan bagi COVID-19

0
46

DUA Rang Undang-undang (RUU) berkaitan pembiayaan bagi pandemik COVID-19 dan wabak penyakit berjangkit dilulus Dewan Rakyat hari ini.

RUU itu adalah Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)) (Pindaan) 2021 dan Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) (Pindaan) 2021.

Kedua-dua Rang Undang-undang itu dibentang Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk bacaan kali kedua hari ini.

Terdahulu, sebanyak 19 Ahli Parlimen mengambil bahagian pada sesi perbahasan Rang Undang-undang Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)) (Pindaan) 2021 yang bertujuan membiayai empat pakej bantuan dan rangsangan yang diumum kerajaan sejak awal tahun ini.

Ketika membentangkan rang undang-undang berkenaan, Tengku Zafrul berkata, pakej bantuan dan rangsangan itu merangkumi PERMAI, PEMERKASA, PEMERKASA Tambahan dan PEMULIH yang memerlukan tambahan peruntukan sejumlah RM27 bilion.

Beliau berkata, pindaan rang undang-undang itu bagi memperoleh kelulusan meningkatkan had siling perbelanjaan di bawah Kumpulan Wang COVID-19 (KWC-19) dari RM65 bilion kepada RM110 bilion serta meningkatkan had hutang statutori daripada 60 peratus Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) kepada 65 peratus.

Rang Undang-undang Kumpulan Wang Amanah Negara (Pindaan) 2021 pula bertujuan mengekalkan penggunaan dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) bagi pemerolehan vaksin dan apa-apa perbelanjaan berhubung vaksin untuk apa-apa wabak penyakit berjangkit, dibahas lapan Ahli Parlimen.

Tengku Zafrul menambah, memandangkan dana KWAN tidak terangkum dalam Kumpulan Wang Disatukan, penggunaan dana ni akan membantu kerajaan dalam mengawal kedudukan fiskal negara, sekali gus memberi impak positif kepada kedudukan kewangan negara secara keseluruhan.

Dari segi kemampanan dana untuk jangka masa panjang pula, katanya kerajaan akan berusaha meningkatkan semula saiz dana KWAN apabila ekonomi kembali stabil.

“Ini termasuk meningkatkan bilangan penyumbang dengan menggalakkan sumbangan daripada syarikat atau pihak berkuasa lain, termasuklah syarikat yang terlibat dengan pengeksploitasian petroleum atau sumber menyusut lain seperti termaktub dalam Seksyen 5, Akta 339 (Akta KWAN 1988),” katanya

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here