KEMENTERIAN Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak kecewa dengan keputusan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) yang masih melaksanakan sistem pengawasan EnterSarawak.
Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata beliau bimbang jika syarat itu menjejaskan kehadiran pelancong ke negeri ini ketika sektor pelancongan dibuka semula untuk memulihkan ekonomi negeri.
Beliau yang menyambut baik pengumuman kerajaan persekutuan yang membenarkan rentas negeri bermula hari ini berkata, syarat yang dikenakan kerajaan Sarawak iaitu borang ‘enterSarawak’, dilihat tiada asasnya.
Sebagai Menteri yang bertanggungjawab memulihkan kembali sektor pelancongan di Sarawak, penarikan beberapa syarat sebelum ini termasuk pembatalan permit polis untuk memasuki negeri itu amat dialu-alukan, namun katanya, JPBNS perlu bersikap lebih memudahkan orang ramai.
“Permit polis sudah tidak perlu, mengapa kita masih perlu mempunyai permit untuk memasuki Sarawak?
“Syarat bukti lengkap divaksinasi atau surat doktor menyatakan mengapa anda tidak divaksinasi adalah memadai,” ujarnya pada sidang media selepas melancarkan Dayak Daily Drift 2021 di Kuching, hari ini.
Tambah Abdul Karim, pihaknya yakin pengesahan vaksinasi lengkap sudah memadai untuk membolehkan seseorang itu memasuki Sarawak kerana sistem yang sama diguna pakai negara lain, termasuk di Eropah. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.