Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Lelaki mengaku tidak bersalah guna nama Ahmad Maslan tipu RM50,000 -

Lelaki mengaku tidak bersalah guna nama Ahmad Maslan tipu RM50,000

SEORANG peniaga berusia 54 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan menipu dan memperdaya seorang individu sebanyak RM50,000 dengan mengaku sebagai pembantu peribadi kepada bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan. 

Tertuduh, Kamarul Ramizu Idrus membuat pengakuan itu ketika pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Norhayati Mohamad Yunus. 

Mengikut kertas pertuduhan, Kamarul Ramizu didakwa cuba menipu dan memperdaya seorang lelaki berusia 28 tahun pada 6 Julai 2015 untuk menyerahkan wang RM50,000 dengan mempercayai dia merupakan pembantu peribadi kepada Ahmad dan akan mengambil tindakan ke atas lelaki berkenaan yang dikatakan terlibat dalam skim pelaburan emas. 

Perbuatan itu merupakan kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 28(1)(a) ASPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. 

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM40,000 bagi pertuduhan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dengan dua penjamin. 

Selain itu, tertuduh turut diarah menyerahkan dokumen perjalanan kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan. 

Mahkamah kemudian menetapkan 10 Disember ini bagi tarikh pengurusan kes. 

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Azlan Basri dan Pegawai Pendakwa Siti Mastura Zakaria manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – SB