Parti Kuasa Rakyat mahu jadi komponen BN

0
299

PARTI Kuasa Rakyat (Kuasa Rakyat) yang baru dilancarkan hari ini berhasrat untuk menjadi salah sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN).

Walau bagaimanapun, Presiden (Penaja) parti itu, Kamarazaman Yaakob berkata, Kuasa Rakyat tidak berhasrat menggantikan MCA atau MIC dalam gabungan politik berkenaan.

Beliau yang juga abang Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, sebagai sebuah parti berbilang kaum, Kuasa Rakyat boleh mengisi kelompongan dalam BN ketika ini.

“Kita tidak menggantikan MCA atau MIC… Jadi, kami sebuah parti berbilang kaum dan sudah boleh mengisi kelompongan dalam BN dan itu bergantung kepada sejauh mana mereka ‘berselera’ serta berkeinginan untuk menerima kami.

“Itu bergantung kepada kondisi dan situasi politik,” katanya dalamsidang media selepas majlis pelancaran Kuasa Rakyat di Kuala Lumpur, hari ini.

Kamarazaman menambah, Kuasa Rakyat sedang berbincang dengan sebuah parti yang telah didaftarkan untuk bergabung dan barisan kepimpinan baharu.

Namun, beliau tidak mendedahkan nama parti terbabit.

Setakat ini, tidak diketahui apa reaksi pucuk pimpinan BN terhadap hasrat Kuasa Rakyat itu.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam dilaporkan berkata, kewujudan terlalu banyak parti politik akan menyebabkan rakyat muak dengan kepelbagaian ideologi, perbezaan pendapat yang akan membawa ekonomi negara terus dalam fasa ketidaktentuan.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata demikian bagi mengulas tentang kemungkinan pemimpin veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah menubuhkan parti baharu.

Pada pandangan Ahmad Zahid, kewujudan terlalu banyak parti politik akan menimbulkan kepelbagaian dan tidak ada satu parti dominan yang menulang belakangi sistem demokrasi bagi membentuk kerajaan.

Walaupun Kuasa Rakyat tidak mempunyai kaitan dengan Tengku Razaleigh, reaksi Ahmad Zahid berhubung penubuhan parti baharu boleh memberi gambaran tentang peluang Kuasa Rakyat untuk diterima sebagai parti komponen BN.

Pada masa ini, BN dianggotai oleh empat parti utama iaitu UMNO, MIC, MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Parti-parti yang menjadi sekutu BN pula ialah Parti Cinta Malaysia (PCM), Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA), Barisan Progresif India Se-Malaysia (AMIPF), Parti Bersatu India Malaysia (MIUP) dan Parti Makkal Sakti Malaysia (Makkal Sakti).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here