Kapal selam nuklear AS berlanggar objek di Laut China Selatan

Beberapa kelasi cedera ringan, bahagian janakuasa nuklear tidak terjejas

0
524

SEBUAH kapal selam Amerika Syarikat (AS) berkuasa nuklear, USS Connecticut dilaporkan berlanggar dengan objek ketika menjalankan operasi di dasar Laut China Selatan.

Kejadian dilaporkan berlaku Khamis lalu menyebabkan dua anak kapal cedera ringan, manakala beberapa lagi anak kapal mengalami lebam dan calar.

Bagaimanapun kejadian tersebut tidak menjejaskan bahagian janakuasa nuklear dan kapal selam kategori tempur berkenaan beroperasi seperti biasa sebelum diarahkan berlabuh di Guam untuk pemeriksaan lanjut.

Sehingga kini masih belum dipastikan objek berkenaan tetapi yang pasti ia bukan kapal selam.


Seorang pegawai tinggi tentera laut AS berkata: Mungkin bangkai kapal karam, atau kontena yang tenggelam atau objek yang belum dilaporkan.

Dalam kenyataan ringkas Armada Wilayah Pasifik AS menegaskan kapal selam daripada kelas Seawolf itu dalam keadaan selamat dan stabil. Tahap kerosakan sedang dinilai.

Walaupun kenyataan berkenaan tidak mendedahkan lokasi kejadian, namun menurut laporan Nikkei Asia, dua pegawai tentera laut AS yang enggan mendedahkan identiti memberitahu, ia berlaku di Laut China Selatan ketika USS Connecticut menjalankan operasi rutin.

Kejadian yang berlaku Khamis lalu itu tidak didedahkan lebih awal demi keselamatan dan kerahsiaan operasi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here