Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Jumlah trafik di lebuh raya meningkat kepada 4 juta sehari -

Jumlah trafik di lebuh raya meningkat kepada 4 juta sehari

LEMBAGA Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan jumlah trafik akan meningkat kepada empat juta kenderaan berbanding 3.5 juta kenderaan dalam tempoh sehari pada masa ini.

Ketua Pengarahnya Datuk Mohd Shuhaimi Hassan berkata ia susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membenarkan rakyat Malaysia yang telah lengkap divaksin untuk melakukan pergerakkan rentas negeri bermula hari ini.

Beliau berkata LLM telah bersiap sedia sepenuhnya dan telah mengambil langkah-langkah perlu untuk memastikan kelancaran trafik di lebuh raya terutamanya pada cuti hujung minggu dan cuti umum Maulidur Rasul pada 19 Okt ini.

Menurutnya bagi memastikan kelancaran pergerakan trafik, LLM telah mengarahkan syarikat konsesi lebuh raya untuk menjadualkan pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan dan mengelakkan pelaksanaan penutupan lorong.

“…terutamanya di Lebuh Raya Utara Selatan, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, Lebuh Raya Pantai Timur dan Lebuhraya Kajang Seremban semasa cuti hujung minggu atau cuti umum bagi mengelakkan kesesakan di lebuh raya,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mohd Shuhaimi berkata syarikat pengendali lebuh raya juga diarah melakukan persiapan bagi memastikan semua kawasan rehat dan rawat serta hentian sebelah sepanjang lebuh raya berada dalam keadaan baik dan teratur serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19.

Sementara itu pengguna lebuh raya juga dinasihatkan untuk memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik, memastikan baki kad ‘Touch and Go’ mencukupi, merancang dan mendapatkan rehat secukupnya sebelum memulakan perjalanan serta mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

Pengguna lebuh raya boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik Lembaga Lebuhraya Malaysia di talian 1-800-88-7752 atau menerusi media sosial seperti Facebook, Lembaga Lebuhraya Malaysia atau di Twitter, @LLMinfotrafik untuk mendapatkan maklumat keadaan trafik serta bantuan. — BERNAMA