Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Hanya pengunjung lengkap divaksin boleh makan di R&R -

Hanya pengunjung lengkap divaksin boleh makan di R&R

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menetapkan hanya pengunjung yang sudah melengkapkan vaksinasi dibenarkan makan di kedai atau ‘dine in’ di kawasan rehat dan rawat (R&R) di bawah kendalian syarikat tersebut.

Sehubungan itu semua pengusaha premis makanan perlu memastikan hanya pengunjung lengkap vaksinasi makan di kedai atau ‘dine in’ susulan kebenaran merentas negeri bermula hari ini.

Ketua Perhubungan Libat Urus Strategik PLUS, Syed Mohammed Idid, berkata seorang kakitangan juga akan ditempatkan di laluan masuk tempat makan berkenaan bagi mengingatkan orang awam untuk merekod suhu badan dan mendaftar masuk aplikasi MySejahtera.

“Kakitangan PLUS tidak boleh pantau prosedur operasi standard (SOP) semua pelanggan di R&R sebab itu pengusaha kedai perlu memainkan peranan dalam hal ini.

“Selain itu, pengunjung perlu mengamalkan kawalan kendiri dan berdisiplin mematuhi SOP ditetapkan kerajaan,” katanya seperti dilaporkan BH Online hari ini.

PLUS menjangka 1.3 juta kenderaan sehari di semua lebuh raya kendalian syarikat itu pada hujung minggu ini dan cuti umum Maulidur Rasul Selasa depan, berbanding 1.1 juta kenderaan sehari ketika ini.

“Sebelum penularan pandemik COVID-19 di negara ini, sebanyak 1.7 juta kenderaan direkodkan pada hari biasa manakala cuti umum atau hari minggu sebanyak 2.2 juta kenderaan,” katanya.

Sementara itu, beberapa pengunjung yang ditemui berkata, mereka mendapat kebenaran untuk merentas negeri sebelum pengumuman kerajaan semalam.

Kebenaran diberikan polis atas urusan keluarga dan kerja.

Ada juga yang ditemui mengaku menjamu selera di R&R berkenaan berikutan menetap dan kerja di kawasan berdekatan.