Blogger didakwa hina Agong

SEORANG penulis blog atau blogger didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini atas tuduhan membuat hantaran menghina Yang di-Pertuan Agong di laman Facebook miliknya, Mei lalu.

Aspan Alias, 69, yang juga bekas pegawai kanan sebuah bank, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicara sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim M M Edwin Paramjothy.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Aspan didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong dengan niat menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Facebook menggunakan nama ‘Aspan Alias’ pada jam 2.47 petang, 16 Mei lalu.

Kenyataan jelik itu kemudian dibaca di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Wangsa Maju di sini, jam 9 pagi pada 18 Mei lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya dan didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Najihah Farhana Che Awang, menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuannya menerusi peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla memohon jumlah jaminan dikurangkan kerana anak guamnya hanya mampu menyediakan RM3,000.

Mohamed Haniff berkata, tertuduh yang kematian isteri menganggur sejak 1995 ketika krisis ekonomi melanda negara dan kini meneruskan kehidupan hasil sumbangan anak-anak.

Mahkamah membenarkan Aspan diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Disember ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. – SB