[VIDEO] Buah tangan terbaharu Azman Naim Cover Rosak sempena kebenaran rentas negeri

0
240

PENYANYI lagu parodi media sosial, Azman Naim 44 Mantra yang tular dengan lagu-lagu saduran yang berunsur nasihat sehingga ‘diburu’ oleh Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, memuat naik lagu terbaharu ke dalam koleksi #CoverRosak di akaun Intstagramnya hari ini, sempena kebenaran merentas negeri yang diumumkan pada Ahad.

Azman atau nama sebenarnya Mohd Nur Azman Naim,36, berkata, pembikinan lirik bagi lagu parodi yang diolah daripada lagu ‘Widuri’ oleh Bob Tutupoly, dihasilkan sejak dua bulan lalu bagi mendesak pihak kerajaan untuk mempercepatkan pembukaan sempadan antara negeri.

“Awalnya, lagu itu berfungsi untuk mendesak kerajaan untuk percepatkan proses rentas negeri. Namun saya bagi masa lagi dan tunggu pengumuman.

“Jadi, saya hanya tukar sikit lirik lagu selepas pengumuman yang memfokuskan nasihat untuk orang ramai jaga SOP ketika merentas negeri,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.

Katanya, objektif intipati liriknya kali ini adalah seperti lagu-lagu parodi sebelumnya, yang memfokuskan keluhan dan kegelisahan rakyat yang sudah lama tidak dapat pulang ke kampung halaman.

Menurut Azman lagi, lagu Widuri menjadi pilihannya kali ini kerana gayanya yang lebih santai dan mempunyai dua gaya atau ‘mood’ yang berbeza dalam masa yang sama.

“Lagu itu ada dua ‘mood’, iaitu ‘mood’ sedih pada awal lagu bila lirik yang kita bawa itu bercerita tentang kisah yang lepas dan berubah kepada ‘mood’ rasa lega tapi dalam masa yang sama kita kena berjaga-jaga. Jadi, basic ‘mood’ lagu itu pun pada saya fikir dah cukup cantik dan sesuai,”ujarnya.

Awal September lalu, anak kelahiran Kulai, Johor ini dilaporkan mendapat tawaran daripada banyak pihak untuk menjadi penyanyi dan juga pelakon.

Katanya, buat masa ini, dirinya masih belum memutuskan sebarang keputusan berkenaan dengan tawaran sebagai penyanyi biarpun beberapa komposer sudah mula mencipta asas lagu kepadanya namun, sudah menerima tawaran berlakon daripada pengarah terkenal, Mamat Khalid.

“Untuk tawaran penyanyi, saya akan tengok dulu hasil kerja mereka bagaimana, dan saya akan buat keputusan. Kalau tawaran berlakon pula, buat masa sekarang saya sedang bekerja dengan Mamat Khalid untuk siri Kampung Pisang beliau.

“Sudah habis ‘shooting’ dah pun. Insyaallah dalam hujung bulan ini mungkin akan ada lagi shooting,”tambahnya.

Lagu parodi Azman yang dijudulkan ‘My Sejahtera Way’ olahan lagu ‘My Way’ oleh Frank Sinatra pada Ogos lalu tular dan mendapat perhatian daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar sehingga TMJ menjejaki dirinya bagi menyempurnakan hasrat baginda.

Susulan itu, Azman selesai menghadap TMJ di Stadium Sultan Ibrahim pada 31 Ogos lalu dan memaklumkan intipati pertemuan itu adalah perkongsian pendapat berkenaan dengan keadaan semasa serta hasrat dan harapan baginda buat anak-anak Johor.–SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here