‘Bapa bom nuklear Pakistan’ meninggal dunia akibat Covid-19

0
289

ABDULl Qadeer Khan, yang digelar sebagai ‘bapa bom nuklear Pakistan’ meninggal dunia pada usia 85 tahun, selepas menerima rawatan di hospital berikutan jangkitan COVID-19.

Saintis atom itu dinobat sebagai wira negara kerana merintis perubahan Pakistan menjadi negara Islam pertama yang mempunyai kuasa nuklear, namun Barat menganggap figura itu sebagai individu bertanggungjawab menyeludup teknologi kepada negara yang berpaling tadah.

Stesen penyiaran nasional, PTV melaporkan Abdul Qadeer meninggal dunia selepas dipindahkan ke Hospital KRL di Islamabad, dengan masalah saluran pernafasan.

Menurut laporan AFP, Beliau dimasukkan ke hospital sama pada Ogos lalu berikutan COVID-19.

Sejurus dibenarkan pulang ke rumah beberapa minggu lalu, beliau dipindahkan semula ke hospital berkenaan susulan tahap kesihatannya yang merosot.

Presiden Pakistan, Arif Alvi, menerusi Twitter menzahirkan kesedihan berikutan pemergian Abdul Qadeer, yang dikenalinya secara peribadi sejak 1982.

“Beliau (Dr Abdul Qadeer Khan) membantu kita membangunkan penghalang kuasa nuklear dan negara yang amat bersyukur tidak sesekali akan melupakan khidmatnya,” katanya.

Abdul Qadeer menjadi pujaan ramai kerana berjaya meningkatkan Pakistan setaraf dengan pesaing, India dalam bidang atom dan menjadikan benteng pertahanan negara sukar ditembusi pihak lawan.

Bagaimanapun, Abdul Qadeer menjadi sasaran di peringkat antarabangsa kerana didakwa berkongsi teknologi nuklear secara haram dengan Iran, Libya dan Korea Utara.

Susulan itu, Abdul Qadeer diperintahkan menjalani tahanan di rumah, di Islamabad pada 2004 selepas beliau mengaku menjalankan rangkaian pemerluasan nuklear bersama tiga negara terbabit.

Pada 2006, Abdul Qadeer disahkan menghidap kanser prostat, namun dilaporkan kembali pulih selepas menjalani pembedahan.

Sebuah mahkamah kemudian menamatkan perintah tahanan rumah beliau pada Februari 2009, namun pergerakan Abdul Qadeer dikawal ketat dan sentiasa ditemani pihak berkuasa apabila keluar dari rumah. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here