[VIDEO] Misteri di sebalik fenomena lubang benam

0
924

PENDUDUK di sebuah bandar kecil di Mexico dikejutkan dengan kemunculan satu lubang misteri yang bersaiz besar sejak 29 Mei lalu.

Lebih mengejutkan, lubang misteri yang dikatakan sebagai fenomena ‘sinkhole’ atau lubang benam yang berlaku di bandar Santa Maria Zacatapec, Puebla di Mexico ini seolah-olah hidup apabila semakin hari semakin membesar dan menelan daratan.

Lubang benam yang turut dipenuhi air berkenaan pada awalnya berdiameter sebesar 5 meter kemudian membesar sehingga 30 meter dan seterusnya 80 meter dalam masa tiga hari sahaja.

Saiz yang semakin membesar itu membimbangkan keluarga Heriberto Sanchez yang mana kediaman mereka bergitu dekat dengan lubang berkenaan.

Lubang gergasi yang telah membesar kepada saiz padang bola sepak dengan kedalaman 45 meter itu dilaporkan telah menelan kediaman Sanchez pada Jun lalu.

Bagaimanakah lubang gergasi ini muncul secara tiba-tiba?

Punca bagi fenomena ini adalah disebabkan keadaan didalam tanah di bawah permukaan bumi beralih, oleh kerana batu-batu yang terdapat dibawah tanah mudah larut di dalam arus air bawah tanah seperti batu kapur atau gipsum sehingga menyebabkan rongga di bawah permukaan bumi.

Bahagian atas rongga yang terbentuk kemudian beransur-ansur tumbuh ke arah permukaan bumi sehingga permukaan menjadi terlalu lemah untuk menampung dan mula jatuh ke dalam rongga yang terbentuk.

Terdapat juga kes yang disebabkan oleh pergerakan air di atas tanah seperti hujan ribut, banjir atau kebocoran jangka panjang daripada saluran pembuangan atau saluran air.

Lubang benam yang terdalam di dunia akibat fenomena ini yang pernah direkodkan adalah di Congquig, China yang mencapai kedalaman 662 meter.

Sekitar Mac lalu, penduduk di Croatia berada dalam ketakutan apabila beratus-ratus lubang besar akibat mendapan tanah yang terbentuk di kawasan yang dilanda gempa bumi kuat berukuran 6.4 skala Ritcher pada Disember 2019.

Menurut penduduk kampung Mecencani, kira-kira 25 kilometer (km) dari pusat gempa, lubang besar pertama terbentuk dua hari sebelum bencana alam itu berlaku.

Namun, 30 lubang besar mula terbentuk 10 hari selepas kejadian gempa bumi berkenaan, kemudian meningkat kepada 40 dan seterusnya sebanyak 70 lubang ditemui di sekitar kawasan Petrinja dalam masa seminggu.

Manakala di bandar Fukuoka, Jepun, fenomena lubang benam berdiameter 29 meter dengan kedalaman 15 meter berlaku di atas jalan raya pada November 2016 sehingga menyebabkan gangguan elektrik namun tiada kecederaan dilaporkan.

Apa yang menjadi perhatian ketika itu, adalah kepantasan mereka yang membaiki jalan yang musnah akibat daripada fenomena berkenaan yang hanya mengambil dua hari sahaja.–SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here