SATU kajian yang dikenali sebagai ‘Late-time small body disruptions for planetary defense’ yang diterbitkan di dalam jurnal Acta Astronautica baru-baru ini mendedahkan kaedah terbaik bagi mengatasi ancaman asteroid menghentam bumi ialah dengan mewujudkan satu benteng pertahanan seperti dalam filem popular tahun, 1998 Armageddon.
Benteng pertahanan ‘late-time small-body disruption’ ini merupakan satu sistem peluru berpandu nuklear yang ditala ke arah asteroid yang mempunyai trajektori pelanggaran dengan bumi.
Menurut portal Science Alert, Ahli Fizik Universiti Johns Hopkins di Maryland, Partrick King berkata, kajian dan pengiraan terkini itu amat berkesan dalam melindungi bumi dari serangan asteroid yang bersaiz lebih kecil sekiranya tempoh hentaman adalah kurang dari satu tahun.
Para penyelidik telah membuat satu model bagi memerhatikan kesan bom nuklear seberat 1 megaton menghentam asteroid selebar 100 meter, dan menganalisis lima orbit asteroid yang berbeza bagi menilai keberkesanan kaedah ini sekiranya letupan dilakukan dari seminggu hingga enam bulan sebelum asteroid terkena bumi.
Analisis itu mendapati, sekiranya kita dapat meletupkan asteroid dua bulan lebih awal daripada ramalan, ia mampu mengurangkan kemusnahan kepada kira-kira 0.1 peratus daripada jisim asalnya.
Bagaimanapun, kaedah letupan ini mempunyai risiko tinggi yang lain kerana asteroid yang pecah kepada serpihan yang lebih kecil, masih mampu menghentam beberapa tempat yang berlainan di muka bumi sekiranya tersilap pengiraan.
King menyatakan kaedah ini adalah pilihan terakhir yang akan digunakan oleh para saintis kerana pada masa ini, kaedah yang digunakan adalah dengan memesongkan asteroid jauh dari bumi mengggunakan tenaga kinetik yang telah diuji dengan lengkap dan teliti.
Kaedah memesongkan asteroid ini secra umumnya akan digunakan sekiranya kita mendapat amaran asteroid yang menuju ke arah bumi seawal puluhan tahun sebelum pelanggaran.
Menurut laporan Independent, saintis di Pusat Sains Angkasa Negara China yang telah mengadakan simulasi kepada kaedah pesongan asteroid mendapati, roket Long March 5 buatan mereka mampu memesongkan asteroid sejauh kira-kira 9,000 kilometer daripada laluan asalnya.
Kebarangkalian untuk asteroid menghentam bumi adalah sangat rendah namun, sebuah asteroid seberat 78 billion kilogram (kg) yang dikenali sebagai Bennu, menjadi perhatian para saintis untuk mengkaji pergerakannya yang dijangka agak hampir dengan bumi.
Asteroid Bennu dijangka berada dalam jarak 7.5 juta kilometer dari orbit Bumi antara tahun 2175 hingga 2199, dan akan diklasifikasikan mempunyai potensi berbahaya kerana dijangka mampu menghapuskan seluruh hidupan di bumi sekiranya berlaku pelanggaran.
Walaupun kebarangkalian Bennu untuk meghentam bumi hanya 1 dalam 2,700 kemungkinan, angka itu masih membimbangkan para saintis memandangkan ia mampu menyebabkan kemusnahan dahsyat sekiranya menghentam bumi.
China merancang untuk menghantar lebih 20 roket Long March 5 bagi menjayakan misi berkenaan yang mana tempoh perjalanan dijangka mengambil masa selama tiga tahun untuk tiba ke asteroid Bennu.—SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.