Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Tular audio cubaan jejas reputasi pemimpin kanan Pas -

Tular audio cubaan jejas reputasi pemimpin kanan Pas

PENULARAN audio yang didakwa mirip suara seorang pemimpin kanan Pas dikatakan berlaku berikutan pemilihan parti yang akan diadakan pada bulan hadapan.

Menurut sumber dalaman Pas, usaha untuk memburukkan reputasi pemimpin terbabit dilihat didalangi oleh pihak tertentu bertujuan menjejaskan peluang beliau untuk bertanding jawatan Naib Presiden Pas.

“Disebabkan beliau seorang bekas menteri yang ‘performed’ semasa menerajui kementerian berkaitan komoditi negara dengan pelbagai program dari peringkat industri sehinggalah kepada pekebun kecil di seluruh negara, beliau dilihat mampu memenangi hati perwakilan pada pemilihan parti itu nanti.

“Beliau juga merupakan Setiausaha Majlis Syura Ulamak Pas, memang seorang yang buat kerja untuk Pas. Jadi, tindakan memburukkan nama beliau mesti dilaksanakan sekarang menjelang pemilihan Pas November ini,” kata sumber itu seperti yang dilaporkan portal Warta Rakyat.

Dalam pada pada itu, menurut sumber itu lagi, gerakan ini dipercayai didalangi oleh mereka yang bertegas mahu Pas bersama Bersatu serta Perikatan Nasional (PN) dengan mengetepikan Muafakat Nasional (MN) yang tunggaknya adalah Pas dan UMNO.

Katanya, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka juga adalah medan ujian bagi melihat bagaimana kerjasama itu dapat dilaksanakan demi mengelakkan Pakatan Harapan menguasai semula negeri itu

“Kita tahu yang Pas mahu menjadi jambatan kepada kedua-dua PN dan MN demi kepentingan umat Melayu dan Islam,” katanya.

Media melaporkan bahawa audio mirip suara seorang pemimpin PAS yang didakwa mempertikai kepimpinan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tular dalam media sosial semalam.

Rakaman audio itu didedahkan seorang pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama Ahmad Rizqi Khairuddin.

Menerusi hantaran di media sosial tersebut, individu yang menggunakan nama Ahmad Rizqi itu memberi amaran akan terus mendedahkan audio seterusnya pemimpin kanan Pas itu. – SB