Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Kerajaan tubuh JK khas siasat kematian Adib -

Kerajaan tubuh JK khas siasat kematian Adib

KABINET memutuskan untuk mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi memastikan siasatan menyeluruh, telus dan pembelaan sewajarnya terhadap kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Kabinet semalam.

Menurut beliau, jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan turut dianggotai oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

“Penubuhan jawatankuasa khas ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan kes kematian Allahyarham Adib, 24, yang juga anggota unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, mendapat keadilan dan sekali gus pelaku kematian Adib dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya mengalami cedera parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN).

Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui. – SB