Kempen Mel Rakyat Pos Malaysia tepati konsep Keluarga Malaysia – Annuar

0
210

KEMPEN Mel Rakyat dilancarkan Pos Malaysia sempena Hari Pos Sedunia pada tahun ini bertepatan dengan aspirasi Keluarga Malaysia, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, kempen ini membolehkan orang ramai berhubung antara satu sama lain dengan percuma menerusi kiriman surat seterusnya mengeratkan hubungan silaturahim dalam masyarakat terutama semasa negara dilanda pandemik. 

“Semasa pandemik, ramai yang sudah lama tidak bersua. Usaha ini amat bertepatan dengan konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Ini membawa falsafah kebersamaan atau togetherness dan hidup di sebuah negara yang mengamalkan demokrasi dan merdeka seperti Malaysia,” katanya pada program Selamat Pagi Malaysia yang disiarkan RTM sempena Hari Pos Sedunia 2021 hari ini.

Kempen Mel Rakyat yang bermula pada 4 Okt sehingga 31 Okt ini bertemakan ‘Meraikan Legasi, Menghubungkan Masa Depan’.

Menekankan kepentingan warga Pos Malaysia terutama bagi kesinambungan dan pembangunan ekonomi serta sosial, Annuar turut menzahirkan penghargaan kepada Pos Malaysia sebagai perkhidmatan pos tertua negara yang berusia mencecah lebih 200 tahun perkhidmatan.

Beliau berkata, sambutan Hari Pos Sedunia pada tahun ini bertemakan ‘Innovate to Recover’ juga melambangkan usaha dan kepentingan perkhidmatan pos di seluruh dunia dalam memastikan kelangsungan ekonomi global.

Hari Pos Sedunia, yang disambut pada 9 Okt setiap tahun menandakan ulang tahun penubuhan Kesatuan Pos Sedunia pada 1874. – Bernama 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here