KADAR vaksinasi golongan dewasa sebanyak 90 peratus dan menjadi angka keramat bagi menentukan kebenaran perjalanan merentas negeri dibenarkan.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada peringkat awal sebelum ini, kerajaan berjanji akan memberi kebenaran apabila peratusan itu mencecah 80 peratus.
Bagaimanapun disebabkan kadar program vaksinasi di negeri-negeri dilihat rendah iaitu pada kadar 60 ke 70 peratus, keputusan itu belum diberi dibuat.
Pun begitu beliau memberi jaminan pengumuman berhubung perkara itu akan dilakukan dalam waktu terdekat.
Pada masa sama, kata beliau, kebenaran itu akan terpakai serentak di seluruh negara walaupun ada negeri yang masih belum mencecah 80 peratus kadar vaksinasi bagi golongan dewasa.
“Tunggu nanti saya akan umumkan tapi saya yakin dah tak lama dan dibuat serentak di seluruh negara. Jadi kalau kita buka sebelum ini, mungkin beri kesan tak baik kepada negeri yang kurang dari segi peratusan.
“Kalau 90 peratus, kita jangka purata setiap negeri dah lebih 80 peratus kadar vaksinasi. Kita akan umumkan dalam waktu terdekat, sehari dua, tak lama lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Pra Pelancaran Keluarga Malaysia di Auditorium Perdana, Angkasapuri, hari ini.
Hujung bulan lalu, Perdana Menteri mengumumkan pergerakan rentas negeri akan dibenarkan apabila negara mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa.
Menurut Ismail Sabri, ketetapan itu dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik berdasarkan data dan analisis yang telah dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Kata beliau, selain aktiviti rentas negeri, kerajaan juga akan membenarkan pembukaan pusat-pusat pelancongan, pulau atau kawasan pelancongan dengan syarat mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.