Malaysia memutuskan menempah awal pil antiviral Molnupiravir meskipun belum mendapat kelulusan untuk penggunaan tempatan.
Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata langkah itu bagi mengelak Malaysia terlepas daripada mendapat bekalan pil berkenaan apabila terpaksa bersaing dengan negara lain berikutan permintaan yang tinggi.
Mengulas lanjut beliau berkata, penggunaan pil antiviral Molnupiravir akan dilaksanakan selepas mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Berdasarkan kajian dibuat di luar negara termasuk di Amerika Syarikat (AS), Molnupiravir terbukti mampu mengurangkan 50 peratus kematian dan kemasukan ke hospital.
“Kita bimbang negara lain sudah dapat (bekalan Molnupiravir) seperti Australia, jika kita tempah lewat sama ada kita dapat lambat atau tidak dapat langsung.
“Sedangkan ini adalah penting sebagai salah satu usaha untuk menyelamatkan nyawa rakyat daripada COVID-19,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Semalam, KKM menandatangani surat aku janji untuk membeli pil antiviral Molnupuravir bagi menambah pilihan rawatan inovatif baharu dalam melawan COVID-19.
Terdahulu, Dr Noor Azmi menyempurnakan simbolik penyerahan 50 set katil dan tilam bernilai RM60,000 yang disumbangkan oleh Harian Metro dan Hijrah melalui kempen ‘Hijrah Bermula Dari Hati’ menerusi program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Bersama Hijrah.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.