KERAJAAN Pahang menawarkan Baucar Pelancongan Pahang berupa diskaun hotel menerusi aplikasi Pahang Go yang dibangunkan kerajaan negeri, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.
Beliau berkata 2,000 baucar yang dihasilkan dengan kerjasama Tourism Pahang itu bertujuan merancakkan semula aktiviti pelancongan negeri yang suram selama hampir dua tahun akibat pandemik COVID-19, dan ia boleh ditebus di lebih 100 hotel bajet terpilih sekitar Pahang.
“Baucar ini berdasarkan ketetapan ‘first come, first served‘ dengan pengguna boleh terus menebusnya di hotel bajet pilihan mereka. Ini diharapkan membantu pengusaha hotel terlibat memperoleh keuntungan melalui kehadiran pelanggan.
“Pengguna boleh melihat senarai hotel yang mengambil bahagian di aplikasi Pahang Go dan menunjukkan baucar itu di kaunter hadapan semasa mendaftar masuk,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Mohd Sharkar berkata penggunaan baucar itu juga dipertimbangkan untuk diteruskan apabila sempadan negeri dibuka yang dijangka dalam masa terdekat, bagi menarik lebih ramai memilih Pahang sebagai destinasi percutian.
Beliau berkata Tourism Pahang bersedia menambah baik baucar berkenaan termasuk meningkatkan kuantitinya jika ia mendapat sambutan baik daripada masyarakat.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.