BARISAN Kabinet yang bermesyuarat pada Jumaat telah membincangkan mengenai Pilihan Raya Negeri Melaka, namun menangguhkan keputusan tersebut.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, keputusan untuk menasihatkan Pemangku Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzudin Shah sama ada mengisytiharkan darurat atau meneruskan PRN Melaka akan dilaksanakan minggu hadapan.
Jelas Ismail Sabri, ia bagi memberi ruang kepada Sultan Nazrin mendapat taklimat berhubung isu berkenaan, sebelum keputusan dilakukan.
“Belum ada keputusan. Tadi kita mengadakan mesyuarat Kabinet dan bincang situasi di Melaka (tapi) kita belum buat sebarang keputusan.
“Saya difahamkan Pemangku Yang di-Pertuan Agong akan mendapat taklimat daripada Peguam Negara, Kementerian Kesihatan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Jadi kita tunggu selepas taklimat kepada Pemangku Yang di-Pertuan Agong dan Kabinet buat keputusan minggu depan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Pra Pelancaran Keluarga Malaysia di Auditorium Perdana, Angkasapuri, hari ini.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan Isnin lalu bagi memberi laluan kepada PRN Melaka diadakan selepas Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam telah membuat pertimbangan dan bersetuju untuk membubarkan DUN susulan nasihat daripada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.
Empat ADUN telah mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepemimpinan Sulaiman iaitu Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).
Sebelum ini, Kerajaan Melaka pimpinan Barisan Nasional (BN) diwakili 17 ADUN yang terdiri daripada 14 ADUN UMNO, dua (Bersatu) dan satu Bebas manakala pembangkang mempunyai 11 kerusi iaitu tujuh DAP, dua (PKR) dan dua (Amanah). – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.