SEORANG lelaki warga India ditahan polis selepas menjadikan sebuah rumah kedai sebagai stor menyimpan 62 kilogram (kg) ganja dianggarkan bernilai RM248,000 dalam serbuan di Bandar Lahat Mines, Ipoh, Perak.
Serbuan kira-kira 5 petang kelmarin itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Perak dan menemui 62 ketulan mampat daun kering dipercayai ganja.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalatrash Wahid berkata, pemeriksaan mendapati, suspek yang berusia 42 tahun tidak mempunyai sebarang pekerjaan.
Katanya, susulan tangkapan itu, polis melakukan serbuan susulan terhadap sebuah rumah di kawasan Lahat dan yang merampas sejumlah lagi dadah, selain menahan dua wanita tempatan, masing-masing berusia 26 tahun serta warga Indonesia berusia 21 tahun.
- “Di rumah itu, polis merampas 1,400 biji disyaki Pil Yaba (pil kuda) dianggarkan seberat 161 gram serta ganja dianggarkan seberat 2.05 gram membabitkan nilai rampasan bagi serbuan susulan ini adalah RM28,102.50.
“Siasatan awal terhadap ketiga-tiga suspek itu mendapati mereka negatif dadah serta tidak mempunyai sebarang kesalahan lampau.
“Tiada hubungan kekeluargaan di antara ketiga-tiga suspek itu. Siasatan awal mengesyaki mereka adalah ahli sindiket pengedaran yang aktif sejak tiga bulan lalu,” katanya dalam sidang media di IPK Perak, hari ini.
Mior Faridalathrash berkata, penahanan dan rampasan hasil operasi itu dianggap suatu kejayaan dalam melumpuhkan sindiket pengedaran dadah di negeri ini.
Nilai keseluruhan dadah yang dirampas bagi kedua-dua serbuan terbabit berjumlah lebih RM276,102 yang mampu menampung keperluan lebih 151,000 penagih.
“Dadah dipercayai diperoleh dari Pulau Pinang itu disyaki untuk edaran pasaran tempatan,” katanya.
Beliau berkata, polis juga menyita sebuah lori dan kereta, di samping dua motosikal serta barang kemas dalam kedua-dua serbuan itu membabitkan nilai sitaan RM86,663.
Katanya, polis tidak menolak kemungkinan sindiket ini banyak merekrut ahli daripada kalangan warga asing.
“Suspek lelaki yang ditahan itu mempunyai pasport tanpa visa dan sudah berada di negara ini sejak tahun 2014,” katanya.
Mior Faridalathrash berkata, kesemua suspek direman enam hari bermula semalam untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mati mandatori. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.