Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Idris, Nor Azman akan sertai gabungan PH -

Idris, Nor Azman akan sertai gabungan PH

DUA Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka daripada UMNO, yang menarik balik sokongan hingga menyebabkan kerajaan pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, tumbang kelmarin, akan menyertai parti dalam gabungan Pakatan Harapan (PH).

Pendirian itu akan diumumkan Adun Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan dan ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron, pada masa yang sesuai menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) susulan pembubaran DUN Melaka yang dibuat Sulaiman selepas hilang majoriti.

Nor Azman berkata, beliau dan Idris setakat ini mereka sudah menerima tawaran daripada beberapa pemimpin PH untuk menyertai parti masing-masing.

Namun, mereka masih membuat pertimbangan sewajarnya, bagi memastikan mereka bukan setakat menang, malah mampu membentuk kerajaan negeri selepas itu

“Saya dan Datuk Seri (Idris) akan buat keputusan parti mana yang akan kami sertai pada waktu sesuai sebelum PRN tetapi yang dua orang lagi (ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad), saya tidak tahu,” katanya dalam sidang media bersama Idris di Pantai Puteri, Tanjung Kling dekat sini hari ini.

Nor Azman enggan mengulas parti atau pemimpin yang menghubungi mereka dan membuat tawaran menyertai gabungan PH itu.

Katanya, beliau akan mempertahankan kerusi Pantai Kundor yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-14, manakala Idris pula akan mempertahankan kerusi Sungai Udang yang sudah dimenanginya selama dua penggal. – SB