[VIDEO] Pilihan raya ganti gelembung pelancongan Melaka?

0
351

SEMUANYA sudah sah. Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka sudah pun dibubarkan pada 4 Oktober 2021, sekaligus akan membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN). 

Semua ini adalah kemuncak krisis politik Melaka, selepas empat Adun menarik sokongan kepada kepemimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, semalam.

Speaker DUN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengesahkan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam telah membuat pertimbangan dan bersetuju untuk membubarkan DUN susulan nasihat daripada Ketua Menteri Melaka. 

Secara rasminya, proklamasi Pembubaran DUN Melaka yang ke-14 diwartakan hari ini dan diserahkan kepada Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Melaka Rudy Rohan Johan @ Ganesan.

Namun, mereka mungkin lupa sepatutnya hari ini adalah hari kelima gelembung pelancongan dikuatkuasakan di negeri bandaraya bersejarah itu. Namun proses pemulihan ekonomi yang memang bergantung kepada pelancongan domestik itu terpaksa ditangguhkan. 

Meskipun Pulau Langkawi dilihat berjaya dalam projek rintis membuka pintu kepada pelancong luar, namun kerajaan Melaka memutuskan tiada aktiviti rentas negeri bagi sektor pelancongan ke negeri itu dibenarkan sehingga vaksin mencapai tahap 90 peratus.

Kenapa?. Semuanya ditangguhkan semata-mata kerana kerajaan negeri tidak mahu memberi risiko kesihatan kepada rakyat kerana mungkin Melaka juga akan ditutup semula jika jumlah kes meningkat mendadak akibat pilihanraya. 

Timbul persoalan, adakah mengadakan pilihanraya itu pilihan tunggal menyelesaikan masalah?. Ini kerana masalah ini adalah masalah berulang dan pernah diselesaikan tanpa mengadakan pilihanraya.

Ketika krisis 2020, Barisan Nasional (BN) mengambilalih kerajaan daripada Pakatan Harapan (PH) tanpa sebarang pilihanraya selepas empat Adun menarik sokongan. 

Ketika itu, BN diwakili 17 Adun yang terdiri daripada 14 Adun UMNO, dua (Bersatu) dan satu Bebas, manakala pembangkang mempunyai 11 kerusi iaitu tujuh DAP, dua (PKR) dan dua (Amanah). 

Kali ini skrip sama berulang apabila empat Adun menarik sokongan. Kenapa tidak menggunakan kaedah sama untuk menyelesaikan masalah?. Sebenarnya masih ada ruang untuk memanggil mana-mana pihak yang mendakwa memiliki majoriti membentuk kerajaan tanpa perlu mengadakan pilihanraya.

Perlu diambil kira, adakah rakyat Melaka cukup bersedia untuk berdepan pilihanraya negeri, kerana ketika ini, negara masih dibelenggu pandemik Covid-19 dan jumlah populasi dewasa lengkap dos vaksin belum mencapai 90 peratus.

Adakah mereka sanggup mengulangi sejarah hitam yang menyaksikan Sabah dibadai Covid-19 yang serius kerana mengadakan pilihanraya negeri pada 26 September 2020. 

Tepuklah dada, tetapi jangan ditanya soal selera, tetapi tanyalah rakyat jelata. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here