TINDAKAN pantas UMNO menggugurkan keahlian dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melaka semalam terus mencetuskan perdebatan panas di arena politik negara.
Kenapa terus menjatuhkan hukuman gugur keahlian secara automatik jika kesalahan sama juga pernah dilakukan pemimpin lebih besar di peringkat pusat?
Jangan sesekali lupa, sebelum ini kumpulan 15 Ahli Parlimen UMNO membuat perangai sama apabila menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN), sehingga Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakan jawatan kerana hilang majoriti.
Tindakan itu diketuai Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Sedangkan, ketika itu, UMNO juga berada dalam gabungan pembentukan kerajaan PN. Apakah ada sebarang hukuman kepada mereka? Jawapannya, tidak.
Semalam, skrip sama berulang di Melaka. Bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron dan Nor Azman bersama dua lagi ADUN mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali, berkuat kuasa serta-merta.
Dua lagi ADUN ialah Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu). Tindakan mereka itu menyebabkan kerajaan yang dipimpin Barisan Nasional (BN) tumbang selepas 18 bulan dibentuk.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh terus mengumumkan kedua-dua Adun itu gugur keahlian UMNO dengan alasan menderhaka.
Jika Idris dan Nor Azman terus dihukum, kenapa Zahid dan kumpulan 15 tadi terlepas sebarang tindakan?
Sedangkan, Zahid ketika itu menjadi pencatur utama dalam gerakan menumbangkan kerajaan PN pada Ogos lalu. Adakah ini satu lagi ‘double standard’ melibatkan pemimpin atasan UMNO yang boleh membuat keputusan sesuka hati mengikut selera politik mereka?
Bahkan, Zahid yang sudah terbukti bersama dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam merancang komplot juga tidak dikenakan sebarang tindakan disiplin parti.
Tanpa segan, Zahid mencadangkan supaya DUN Melaka dibubarkan dan diadakan pilihanraya negeri. Tujuannya untuk menyerahkan kuasa memilih kepada rakyat.
Kenapa tidak syorkan perkara sama ketika merampas kuasa daripada Pakatan Harapan (PH) dan sekali lagi ketika menjatuhkan kerajaan PN pada Ogos lalu?–SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.