SEJARAH membuktikan bahawa Bahasa Melayu adalah merupakan bahasa pengantara (Lingua Franca) yang pernah digunakan secara meluas di rantau ini.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin berkata, semenjak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi, Bahasa Melayu berperanan sebagai bahasa perantaraan utama dalam pertuturan mahupun penulisan dalam perniagaan, perundingan dan perjanjian oleh para pedagang asing yang datang ke Kepulauan Melayu.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) 2021 Sektor Pendidikan 2021 secara atas talian di EduwebTV.

“Ini menjadi bukti kemampuan Bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa yang dapat digunakan oleh pelbagai bangsa.
“Kekuatan Bahasa Melayu dalam konteks ilmu telah membuktikan bahawa Bahasa Melayu mampu menjadi bahasa penyatu masyarakat,” katanya.
Menurut beliau, ia jelas dilihat apabila Bahasa Melayu berjaya menyatukan penduduk nusantara sungguhpun rantau ini terdiri daripada pelbagai bangsa dan suku kaum.
Tambah beliau, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berperanan penting dalam memastikan Bahasa Melayu dimartabatkan sebagai bahasa kebangsaan selaras dengan ketetapan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.
“Dalam hal ini, Pelan Halatuju Pendidikan Bahasa Melayu 2016-2025 telah dirangka dengan jelas dan terperinci agar semua pihak dapat bersama-sama memartabatkan Bahasa Melayu.
“Dasar pendidikan kebangsaan telah menetapkan bahawa Bahasa Melayu ialah bahasa pengantar dalam sistem pendidikan kebangsaan,” ujar Radzi.
Beliau turut berkata, KPM bertanggungjawab melaksanakan pelbagai usaha untuk memastikan semua pihak memahami dasar bahasa kebangsaan terutamanya bagi seluruh warga sektor pendidikan.
“Tanggungjawab untuk memperkasakan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak seharusnya diserahkan sepenuhnya kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
“Sewajarnya, tanggungjawab ini perlulah sama-sama digalas oleh setiap individu dalam masyarakat, termasuklah warga KPM,” katanya. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.