Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Rancangan menyeluruh kawal keselamatan Sabah -
Keselamatan Sabah

Rancangan menyeluruh kawal keselamatan Sabah

KERAJAAN mempunyai perancangan menyeluruh dalam mengekal serta menambah kawalan keselamatan khususnya di Sabah, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata, langkah itu antaranya melibatkan pembinaan Kem 5 Briged baharu selain pemantauan bersama ketiga-tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di kawasan dikenal pasti berisiko menerima ancaman keselamatan.

“Kem tentera baharu di Felda Sahabat, Kem 5 Briged di Kota Belud yang bakal dibina akan bertindak sebagai ‘in-depth element’ yang sentiasa bersiap sedia membantu ‘forward element’ di persempadanan sekiranya diperlukan dalam mempertahankan Sabah daripada ancaman.

“Pengawasan keselamatan di Sabah khususnya di kawasan pantai timurnya diperkukuh dengan pemantauan ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM di Kem Kukusan Tawau,” katanya pada sesi penggulungan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, hari ini.

Hishammuddin memberitahu, pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ditempatkan di Markas Pemerintahan Armada Timur di Kota Kinabalu bagi memerintah pangkalan laut di Sabah dan Sarawak.

“Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2) ditempatkan di Sandakan bagi memantau pantai timur Sabah sementara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menempatkan Markas Udara di Labuan serta pusat bantuan operasi udara di Tawau bagi tujuan memantau keselamatan ruang udara negeri itu,” katanya.

Beliau memberitahu, bagi memperkukuhkan lagi keselamatan, Kementerian Pertahanan sedang membangunkan Pangkalan TLDM Markas Wilayah Laut 4 (MAWILLA 4) di Sarawak khususnya di Bintulu.

“Ini semua dalam perancangan kami dan ia dibuat secara berperingkat, apa yang saya bentangkan difahamkan mencukupi untuk menjamin keselamatan Sabah buat masa ini.

“Tapi pada masa akan datang sekiranya cukup peruntukan anggota dan aset untuk diberi tumpuan akan turut tertumpu di kawasan lain ni negeri itu,” katanya.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, kemajuan projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) TLDM yang dimulakan pada tahun 2010 dan diluluskan pada 23 Mac 2011 menerusi RMK10 dan RMK11 kini mencapai 57.05 peratus berbanding jadual perancangan kerja asal iaitu 95.94 peratus.

“Sehingga 15 September lalu, itu yang dicapai dan secara keseluruhan perolehan ini mengalami kelewatan 38.89 peratus justeru di atas kelewatan ini kerajaan kenakan denda lewat kira-kira RM80.6 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab celahan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) yang mempersoalkan perolehan tender telus berhubung projek perolehan LCS. – Bernama